ALOR SETAR: Pengerusi Peladang Muda PPK MADA, Aswadil Khairi Che Omar berkata, kelewatan bekalan baja tidak boleh dianggap sebagai masalah kecil kerana kesannya ditanggung secara langsung oleh pesawah, khususnya ketika hasil tuaian padi kebelakangan ini sudah berdepan tekanan.
Katanya, kelewatan itu juga berpunca daripada faktor manusia dan bukannya perkara di luar kawalan seperti keadaan cuaca termasuk bencana alam.
Menurut beliau, para petani yang terjejas dengan pembekalan baja sebatian tambahan atau baja tiga di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menyokong ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan isu berkenaan.
“Kami para peladang amat menghormati ketegasan itu dan mengharapkan siasatan secara terperinci dapat dilakukan sehinggalah sekiranya ada pengkhianat yang terlibat agar dibawa ke muka pengadilan.
“Ini kerana impak kelewatan baja ini amat teruk kepada pesawah sebab kita sedia maklum hasil tuaian padi dalam tempoh lima ke enam musim lalu agak merosot walaupun baja tidak terlalu lewat seperti kali ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Aswadil Khairi turut menggesa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengkaji semula mekanisme pembekalan baja dan mengambil tindakan segera jika berlaku kegagalan memenuhi syarat ditetapkan.
“Keputusan lebih awal perlu diambil sekiranya didapati syarikat yang memperoleh tender tidak mampu memenuhi kontrak yang diperolehnya.
“Tetapi proses tanaman yang tidak mengikut jadual akan menyebabkan kesannya bukan sahaja kepada hasil timbangan padi tetapi pendapatan kami juga akan merosot teruk,” katanya. – UTUSAN










