Auji Kiasatina fasih bahasa Mandarin, kebanggaan SJKC Penjom

Auji Kiasatina fasih bahasa Mandarin, kebanggaan SJKC Penjom

Auji Kiasatina Bahari (berdiri belakang, dua dari kanan) bersama jurulatih dan pemain yang mewakili Majlis Sukan Sekolah Pahang ke pertandingan Bola Keranjang Bawah 12 Tahun, Majlis Sukan Sekolah Malaysia di Lipis, Pahang baru-baru ini. – UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AUJI Kiasatina Bahari menjadi kebanggaan warga pendidikan daerah Lipis dan Pahang amnya merupakan seorang pelajar Melayu yang berkebolehan mewakili pasukan bola keranjang Majlis Sukan Sekolah Pahang (MSSP) Bawah 12 Tahun ke pertandingan peringkat Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Pulau Pinang baru-baru ini.

Paling bertuah pelajar Tahun Enam Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Penjom, Lipis juga terpilih mewakili pasukan badminton MSS Pahang, tetapi terpaksa buat pilihan kerana kedua-kedua pertandingan itu berlangsung pada tarikh serentak peringkat MSSM.

Bercakap kepada Utusan Pelajar, Auji Kiasatina berkata, dia terpaksa membuat pilihan mewakili pasukan bola keranjang kerana lebih berminat dengan sukan itu lagipun ramai rakan pemain dalam kalangan pelajar Cina yang berasal dari daerah ini.

“Bola keranjang membentuk diri saya sebagai atlet sejak di Tahun Empat lagi apabila kerap melihat rakan pemain sekolah berlatih dan kemudian terus berjinak dengan sukan ini sehinggalah terpilih mewakili sekolah dan daerah.

“Paling menarik pembabitan saya dalam sukan ini apabila dapat bergaul dengan rakan dari kalangan kaum Cina dan bertutur dalam bahasa Mandarin dan bahasa Melayu menambah lagi hubungan erat dan terus bersemangat untuk berlatih serta bermain sebagai satu pasukan,” katanya di SJKC Penjom, Lipis baru-baru ini.

Auji Kiasatina berkata, dia juga meminati sukan badminton dan olahraga kerana sering berlatih bersama rakan kaum Cina dan terpilih mewakili sekolah ke pertandingan peringkat MSSD Lipis dan MSSP.

Dia berkata, bapanya, Bahari Alang seorang kakitangan Jabatan Ukur di Lipis juga aktif dalam sukan badminton mewakili jabatan itu antara pencetus serta pendorong dia melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum sekolah, iaitu acara bola keranjang, badminton dan olahraga.

Auji Kiasatina Bahari ( dua dari kanan) bersama Pegawai Pendidikan Lipis, Shahnam Abd Rashid (dua dari kiri) dan jurulatih ketika menjadi johan bergu badminton Majlis Sukan Daerah Lipis di Lipis , Pahang baru-baru ini.

Katanya, dorongan untuk bergiat dalam bidang sukan bola keranjang, badminton dan olahraga apabila pengalaman melihat beberapa orang kakaknya aktif bermain bola baling dan olahraga juga pernah mewakili MSSD Lipis dan MSSP sebelum ini.

“Saya juga berminat dalam bidang kesenian Cina dan terpilih membuat persembahan bercerita dalam bahasa Mandarin di sekolah serta pertandingan peringkat daerah.

“Kebolehan bertutur bahasa Mandarin dengan fasih antara sebab saya seorang pelajar Melayu terpilih mewakili sekolah dalam pertandingan bercerita peringkat daerah. Saya berterima kasih kepada guru SJKC Penjom,” katanya.

Cerita Auji Kiasatina lagi, pergaulan dengan pelajar Cina sejak belajar di prasekolah sehingga ini memberi peluang kepadanya untuk mendalami tarian tradisional kaum itu serta lagu bercorak pendidikan.

Dia berkata, walaupun mampu menguasai bahasa Mandarin dengan fasih termasuk penulisan, tetapi tetap berusaha belajar bersungguh mata pelajaran bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan sebagainya untuk cemerlang dalam peperiksaan dan menyambung pelajaran sehingga ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya bercita-cita untuk menjadi seorang guru apabila selesai pengajian di peringkat ijazah nanti dan ingin melunaskan bakat serta kemahiran bermain bola keranjang, badminton dan olahraga kepada pelajar,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Lipis, Shahnam Abd Rashid berkata, ketokohan serta ketrampilan Auji Kiasatina dalam bidang kokurikulum dan koakademik sewajarnya diteladani oleh pelajar lain.

“Saya teruja kerana pelajar ini mampu menguasai bahasa Mandarin termasuk penulisan dengan baik serta aktif dalam pendidikan kesenian Cina difahamkan antara pelajar yang disegani dan mendapat penghargaan kalangan guru dan rakan di sekolah tersebut,” katanya.

Ujarnya, Pejabat Pendidikan Lipis sentiasa memberi galakan semua pelajar Melayu, India dan Orang Asli di SJKC daerah ini supaya belajar bersungguh menguasai bahasa Melayu dan bahasa Mandarin serta dapat menyesuaikan diri dengan iklim persekolahan mampu belajar hingga ke peringkat tinggi sebagai batu loncatan menceburi bidang kerjaya profesional pada masa akan datang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×