Anggota polis trafik patah tangan, kaki dirempuh lelaki lari SJR - Utusan Malaysia

Anggota polis trafik patah tangan, kaki dirempuh lelaki lari SJR

SEORANG anggota polis cedera patah tangan dan kaki selepas dirempuh sebuah kereta di kawasan lampu isyarat berhampiran bangunan SUK Perak di Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang anggota polis trafik patah tangan kiri dan kaki kanan selepas dirempuh sebuah kereta dipandu seorang lelaki yang cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Silibin, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 pagi itu, anggota trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh sedang menjalankan SJR sebelum mengarahkan kereta berkenaan berhenti.

Bagaimanapun katanya, pemandu kereta tersebut tidak mematuhi arahan dan terus memecut meninggalkan lokasi.

“Ketika itu, anggota yang bertugas sempat mengelak daripada dirempuh. Tiga anggota trafik kemudiannya bertindak mengejar kereta berkenaan.

“Apabila tiba di kawasan lampu isyarat berhampiran Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak, suspek telah memasuki lorong kiri sebelum membuat pusingan U secara tiba-tiba dan merempuh seorang anggota trafik,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, suspek kemudian melarikan diri ke arah Gunung Lang dan apabila tiba di kawasan berhampiran sebuah restoran makanan segera, dia memandu melawan arus sebelum kereta terbabit terbabas di kawasan lampu isyarat Taman Wing Onn.

Katanya, suspek seorang lelaki berusia 29 tahun ditahan selepas kenderaan terbabit terbabas.

“Semakan awal mendapati suspek tidak memiliki lesen memandu manakala cukai jalan kenderaan berkenaan telah tamat tempoh.

“Ujian saringan awal air kencing suspek turut didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Beliau berkata, anggota polis yang cedera dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan lanjut.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×