Alliance Islamic Bank sasar kumpul dana zakat RM3.45 juta - Utusan Malaysia

Alliance Islamic Bank sasar kumpul dana zakat RM3.45 juta

TIMBALAN Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli (lima dari kiri) selepas merasmikan Majlis Program Zakat Wakalah Alliance Islamic Zakat Microfinancing (AZAM)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Alliance Islamic Bank Berhad (AIS) menyasarkan tambahan dana zakat sebanyak RM3.45 juta menjelang Mac 2027 bagi memperluas Program Pembiayaan Mikro Zakat Alliance Islamic Bank (AZAM) kepada usahawan asnaf.

Perkembangan itu bakal meningkatkan jumlah keseluruhan dana program berkenaan kepada RM4.425 juta berbanding RM975,000 yang disalurkan sejak diperkenalkan pada 2023.

“Penambahan dana ini dijangka membolehkan program AZAM memperluas pembiayaan mikro berterusan kepada kira-kira 690 usahawan asnaf yang layak di Selangor.

“Setakat ini, program berkenaan telah membuktikan keupayaannya apabila berjaya membantu 25 penerima keluar daripada status asnaf fakir miskin,” katanya dalam kenyataan. 

Menurut AIS, langkah memajukan usahawan asnaf berasaskan zakat produktif ini disokong oleh pertumbuhan kutipan zakat di Malaysia yang melonjak daripada RM3.8 bilion pada 2021 kepada RM5.3 bilion pada 2025 dengan Kadar Pertumbuhan Tahunan Terkumpul (CAGR) sebanyak 8.72 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif AIS, Rizal IL-Ehzan Fadil Azim berkata, AZAM menggunapakai konsep Qard menerusi struktur dana pusingan bagi membolehkan bayaran balik pembiayaan tanpa caj keuntungan disalurkan semula kepada penerima baharu.

“Setiap RM1 yang disalurkan kepada AZAM menghasilkan pulangan nilai sosial bernilai RM6.10 berdasarkan kajian Social Return on Investment (SROI) yang disahkan oleh Social Value Malaysia.

“Pembayar zakat kini mahu melihat bagaimana sumbangan mereka diuruskan, dan menerusi AZAM, kami menyediakan laporan impak yang telus agar pusingan dana zakat wakalah ini memberi manfaat berterusan,” katanya.

Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi proses pengesahan asnaf dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dari segi penyediaan latihan serta bimbingan perniagaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Khaidzir Shahari berkata, inisiatif berkenaan bukan sekadar memenuhi keperluan modal pusingan, malah membina keupayaan asnaf untuk berdikari dan meningkatkan kuasa membeli.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif AIM, Noor Aeiza Hassan berkata, gabungan pembiayaan dan bimbingan kewangan berstruktur merupakan pemangkin utama untuk mengubah taraf hidup usahawan asnaf secara mampan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×