Ahmad Zahid akan jumpa MB Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Ahmad Zahid akan jumpa MB Negeri Sembilan

AHMAD Zahid Hamidi melancarkan Buku 13 Propaganda Perang Sun Tzu sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di WTC Kuala Lumpur hari ini.-UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO akan mendapatkan penjelasan lanjut berhubung dakwaan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim yang dikatakan dipaksa menurunkan tandatangan pada Surat Cara Proklamasi menurunkan takhta Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau sendiri tidak jelas dengan kenyataan yang dikeluarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu.

Kata Ahmad Zahid, beliau sendiri tidak berada di majlis atau ketika Ismail menurunkan tandatangannya pada Ogos lalu.

“Saya tidak jelas mengenai perkara itu sebab saya tidak berada dalam majlis ataupun ketika tandatangan itu dilakukan.

“Ya, beliau tentunya akan menemui saya ketika Perhimpunan Agung ini diadakan dan penjelasan akan dibuat oleh beliau. Saya akan bertanya latar belakang mengenai kenyataan beliau itu,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan Buku 13 Propaganda Perang Sun Tzu sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, pertemuan itu akan dilakukan pada bila-bila masa memandangkan kedua-dua mereka berada di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur sepanjang PAU 20206 ini.

Sebelum ini, krisis istana Negeri Sembilan kembali meruncing apabila Pembesar Bersama Negeri Sembilan menunjukkan dokumen yang didakwa proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Datuk Maarof Mat Rashad dalam sidang akhbar bersama Abdul Rahim Yasin serta Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah kelmarin turut menunjukkan dokumen yang didakwa ditandatangani Ismail dalam surat cara proklamasi berkaitan Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Tandatangan Menteri Besar itu tertera pada surat cara proklamasi bertarikh 3 Ogos lalu yang antara lain menyentuh keputusan Undang Yang Empat berhubung penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada 19 April lalu.

Bagaimanapun, Ismail kemudiannya mendakwa beliau menurunkan tandatangan itu tanpa kerelaan tanpa memberi penjelasan lanjut berhubung dakwaannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×