Agenda ‘Malaysia Biru’ bermula di Melaka

Agenda ‘Malaysia Biru’ bermula di Melaka

AHMAD Zahid Hamidi berucap sempena Musyawarah Nasional 3.0 Membongkar Polemik Tanah Melayu di MITC, Ayer Keroh, Melaka hari ini. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Melaka bakal menjadi permulaan kepada gelombang biru yang akan diperluaskan ke seluruh negara dalam usaha memperkukuh agenda politik dan pembangunan negara menuju 100 tahun kemerdekaan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kekuatan yang dibina di Melaka perlu diteruskan ke negeri-negeri lain sebagai sebahagian daripada agenda ‘Malaysia Biru’ yang digariskannya.

“Insya-Allah, Melaka akan terus dibirukan. Kita mahu kekuatan di Melaka ini dibawa ke seluruh negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita mahu kekuatan sejarah dan jati diri Melaka ini diterjemahkan kepada kemajuan, kejayaan yang dapat dinikmati bersama,” katanya ketika berucap pada Musyawarah Nasional 3.0 Membongkar Polemik Tanah Melayu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, agenda Malaysia Biru merupakan antara ikhtiar yang digerakkan menuju 100 tahun kemerdekaan dengan memberi penekanan kepada pengukuhan jati diri, sejarah dan rasa memiliki terhadap tanah air.

Menurutnya, konsep ‘Malaysia Negara Pemilik’ turut menjadi antara agenda bagi memastikan rakyat mempunyai peluang membina kehidupan yang bermakna serta mewariskan hasil usaha mereka kepada generasi akan datang.

“Kita mahu generasi penerus, generasi anak cucu kita berdiri di bumi ini dengan bangga kerana mereka mengenali sejarahnya, mempunyai tempat dalam kemakmurannya dan berupaya menentukan masa hadapannya.

“Di sinilah akar menjadi kekuatan dan rasa kepunyaan menjadi tekad,” katanya.

Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa sejarah tanah air perlu difahami secara menyeluruh dan berasaskan fakta, termasuk sejarah yang wujud sebelum kedatangan penjajah.

Katanya, kewujudan Kedah Tua, Lembah Bujang dan Sungai Batu antara bukti bahawa kegiatan perdagangan dan pengeluaran besi telah berkembang di rantau ini jauh lebih awal.

Beliau berkata, kesedaran sejarah penting dalam kalangan generasi muda supaya mereka tidak melihat sejarah negara seolah-olah hanya bermula selepas kedatangan penjajah.

“Penjajah datang ke tanah yang sudah mempunyai sejarah, bukan ke tanah yang baharu mendapat sejarah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×