PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara berkuat kuasa mulai 9 September lalu.
Pelantikan beliau atas perkenan Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis sebagaimana termaktub di bawah Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, berdasarkan kepakaran dan pengalaman dalam bidang kepolisan, Abdul Aziz mempunyai kompetensi dan daya kepimpinan yang tinggi sebagai Timbalan Ketua Polis Negara.
“Beliau mula dilantik dalam Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1 Julai 1995. Sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau telah ditempatkan di pelbagai jabatan dalam PDRM.
“Antaranya adalah Jabatan Pengurusan, Jabatan Cawangan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Jabatan Logistik dan Teknologi serta Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Saifuddin yang juga Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis berkata, selaras dengan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki, anak kelahiran Penaga, Pulau Pinang dan berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu telah berkhidmat di pelbagai jawatan strategik dalam PDRM.
Antaranya adalah sebagai Pengarah Pengurusan, Timbalan Pengarah Cawangan Khas, Timbalan Pengarah Narkotik, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Dasar/Sumber dan Ketua Penolong Pengarah Pasukan Khas Siasatan Bersepadu.
Katanya, bagi memperkukuh profesionalisme, beliau juga telah menghadiri pelbagai kursus dan seminar, termasuk The 8th International Symposium of Best Police Practice (Dubai, Emiriah Arab Bersatu) dan Intelligence Management Development Programme (Australia). – UTUSAN










