902 klinik laksana penjagaan paru-paru bersepadu menjelang akhir tahun

902 klinik laksana penjagaan paru-paru bersepadu menjelang akhir tahun

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 902 klinik kesihatan di seluruh negara bakal melaksanakan pendekatan penjagaan kesihatan paru-paru secara bersepadu menjelang akhir tahun ini sebagai sebahagian daripada Inisiatif Paru-Paru Sihat 2025–2030.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pendekatan itu merangkumi promosi kesihatan, saringan, bantuan berhenti merokok serta sistem rujukan bagi memastikan pesakit menerima penjagaan secara berterusan mengikut keperluan masing-masing.

Katanya, usaha itu penting memandangkan penyakit paru-paru merupakan antara tiga punca utama kemasukan ke hospital dan kematian di negara ini.

“Selain itu, Kementerian Kesihatan (KKM) turut memperluaskan penggunaan saringan X-ray dada yang dibantu dengan kecerdasan buatan (AI) bagi membantu pengesanan awal penyakit.

“Antara usaha terbaharu ialah Program LungShield menerusi kerjasama tiga pihak antara IHH, KKM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melibatkan saringan terhadap 10,000 anggota polis trafik.

“Pada masa sama, KKM menubuhkan Pendaftaran Kesihatan Paru-Paru Kebangsaan (NALURY) bagi menyokong pemantauan dan penilaian program berkaitan kesihatan paru-paru,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Saintifik Tahunan 2026 NIHR Global Health Research Unit on Respiratory Health (RESPIRE), di sini hari ini.

Menurut Dzulkefly, penyakit pernafasan kronik seperti asma dan penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD) perlu diberi perhatian memandangkan ia menjejaskan sebahagian besar penduduk Malaysia.

“Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, enam peratus orang dewasa dan sehingga 13 peratus kanak-kanak menghidap asma, manakala kira-kira seorang daripada tiga penghidap masih belum didiagnosis.

“Tuberkulosis (TB) juga terus memberi beban besar kepada sistem kesihatan negara dengan kadar insiden sebanyak 96 kes bagi setiap 100,000 penduduk pada 2024,” katanya.

Dzulkefly berkata, kerajaan turut memberi tumpuan kepada usaha menangani punca penyakit pernafasan termasuk menerusi penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Katanya, penguatkuasaan itu antara lain bertujuan melindungi golongan muda daripada pemasaran vape dan rokok elektronik.

“Kita juga memanfaatkan inovasi digital seperti Cik Era AI-Companion bagi menyediakan sokongan berhenti merokok yang lebih mudah diakses,” katanya.

Dzulkefly berkata, penyakit paru-paru dan pernafasan kekal sebagai cabaran utama kesihatan awam apabila ia menyumbang kepada satu daripada setiap lima kematian di seluruh dunia.

Menurutnya, kesihatan paru-paru bukan sahaja dipengaruhi oleh penyakit tertentu, malah turut berkait dengan pelbagai faktor termasuk persekitaran, kualiti udara, perubahan iklim dan keadaan sosioekonomi.

“Malaysia turut memainkan peranan dalam membawa agenda kesihatan paru-paru ke peringkat antarabangsa termasuk menerusi resolusi “Promoting and Prioritizing an Integrated Lung Health Approach” pada Perhimpunan Kesihatan Sedunia Ke-78 (WHA78).

“Resolusi itu memberi penekanan kepada aspek pencegahan, diagnosis dan pengurusan penyakit pernafasan selain memperkukuh penjagaan kesihatan primer serta meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan pada kos mampu milik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×