30 nelayan Vietnam dicekup tangkap ikan guna bot klon 

30 nelayan Vietnam dicekup tangkap ikan guna bot klon 

KAMAL Mohamed (tengah) menyoal siasat nelayan warga Vietnam yang ditahan di Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Tok Bali dekat Pasir Puteh, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Taktik dua bot laut dalam nelayan asing yang diklon sebagai bot tempatan terbongkar selepas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan seramai 30 nelayan Vietnam yang menceroboh dan menangkap ikan secara haram di perairan Kelantan, kira-kira 254 hingga 274 kilometer dari Muara Tok Bali, dekat sini, Rabu lalu.

Semua nelayan termasuk dua tekong berusia berusia dalam lingkungan 15 tahun hingga 61 tahun itu ditahan selepas didapati menaiki bot menggunakan bot dengan nombor pendaftaran palsu.

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, tangkapan pertama dilakukan selepas sebuah bot dikesan dalam keadaan mencurigakan kira-kira 254 kilometer dari Muara Tok Bali pada pukul 3.38 petang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, pengemudi bot terbabit diarahkan berhenti untuk pemeriksaan,namun cuba melarikan diri sebelum dipintas dan ditahan kapal Maritim Malaysia kira-kira 30 minit kemudian.

“Pemeriksaan lanjut mendapati 14 nelayan termasuk tekong gagal mengemukakan dokumen dan lesen yang sah selain tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

“Sebuah lagi bot yang dinaiki 16 nelayan warga Vietnam ditahan kira-kira 274 kilometer dari Muara Tok Bali pads pukul 5.14 petang selepas turut bertindak cuba melarikan diri sebaik sahaja diarahkan berhenti,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Tok Bali di sini, hari ini.

Kamal berkata, semua 30 warga asing menaiki bot yang menggunakan nombor pendaftaran vesel nelayan tempatan atau ‘bot klon’ bagi mengaburi pihak berkuasa.

Katanya, nombor pendaftaran yang digunakan juga tiada dalam senarai pendaftaran bot nelayan yang sah.

“Kedudukan kedua-dua bot yang dikesan jauh di laut menunjukkan kawasan kira-kira 240 kilometer dari pantai Kelantan sehingga ke sempadan perairan Vietnam kini menjadi antara kawasan tumpuan penguatkuasaan.

“Kita tidak menolak kemungkinan kedua-dua bot terbabit mempunyai kaitan dengan satu kumpulan yang sama, namun perkara itu masih dalam siasatan,” ujarnya.

Kamal berkata, bot laut dalam mampu berada di laut untuk tempoh yang panjang sehingga kira-kira 20 hari.

Ujarnya, nilai keseluruhan rampasan membabitkan dua buah bot, hasil laut termasuk barangan berkaitan dianggarkan lebih RM2.4 juta dan kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 serta Akta Imigresen 1959/63. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×