KUALA LUMPUR: Ruang rekreasi baharu seluas 120 ekar akan diwujudkan di beberapa kawasan di ibu negara bagi menambah kemudahan riadah untuk kegunaan warga kota.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, perancangan itu melibatkan Sungai Bunus, kawasan Air Panas, Danau Lumayan dan Kampung Sungai Bohol serta lebih 20 taman awam baharu.
Katanya, sebanyak 556 lot kawasan lapang telah diwartakan setakat ini selepas pertambahan empat lot baharu, manakala lebih 200 lot lagi masih dalam proses.
“Selepas kita mewartakan kawasan itu, kita perlu memastikan kawasan rekreasi ini dihidupkan dengan kemudahan yang penduduk boleh gunakan. Kawasan-kawasan hijau yang tidak ada trek joging tiada gunanya kerana rakyat tidak boleh menggunakannya khususnya warga emas ataupun kanak-kanak.
“Itu sebabnya dalam belanjawan untuk tahun depan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang merangka bagaimana mereka boleh membelanjakan lebih banyak lagi peruntukan untuk menyediakan trek di kawasan hijau.
“Kita mahu menggalakkan lebih ramai orang berjalan pantas di Kuala Lumpur dengan infrastruktur yang lebih selesa untuk warga kota,” katanya dalam sidang akhbar di Kolam Takungan Banjir Sungai Bunus di sini, hari ini.
Hannah berkata, DBKL turut menjalankan kajian bagi meneliti potensi penyediaan laluan berbasikal dan larian di kawasan tanah perkuburan Kwong Tong yang berkeluasan kira-kira 165 ekar.
Katanya, DBKL telah melakukan lawatan tapak bersama persatuan di situ untuk meneliti potensi berkenaan, selain mengambil kira minat orang ramai yang mahu berbasikal.
“Tempat itu sesuai kerana mempunyai laluan sedia ada yang selamat. Laluan rekreasi awam sepanjang kira-kira empat kilometer boleh disediakan melalui kajian ini.
“Usaha ini akan diteruskan secara agresif. Kita mahu melindungi kawasan hijau yang penting untuk warga kota dan mencari laluan baharu,” katanya.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, peruntukan keseluruhan bagi kluster hijau dalam belanjawan DBKL untuk 2027 adalah melebihi RM200 juta.
Katanya, kerja penambahbaikan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Sungai Bunus dijangka siap pada Oktober sebelum kawasan itu diserahkan kepada DBKL untuk pengurusan dan penyelenggaraan.
“Jadi, kita panjangkan lagi kemudahan trek sejauh 1.5 kilometer melibatkan kawasan seluas 15 ekar. Kita akan menambah baik kemudahan yang ada, termasuk juga lampu dan kemudahan riadah yang lain.
“Yang besar ini ialah di Kolam Takungan Bohol melibatkan kawasan seluas 60 ekar dan trek jogingnya sepanjang lapan kilometer yang akan dilaksanakan oleh pihak swasta pada tahun hadapan.
“Kemudahan taman permainan kanak-kanak yang ada sekarang ini adalah jenis reka bentuk lama dan kita memohon geran padanan kira-kira RM7 juta daripada Kementerian Kewangan untuk membangunkan lebih 20 taman permainan kanak-kanak di kawasan kejiranan,” katanya.-UTUSAN










