103 unit kediaman lagi bakal dikosongkan di Taman Manggis - Sundarajoo

103 unit kediaman lagi bakal dikosongkan di Taman Manggis – Sundarajoo

S. SUNDARAJOO menunjukkan gambar beberapa kenderaan mewah yang dipercayai dimiliki oleh penghuni PPR Taman Manggis ketika sidang akhbar di George Town, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Sebanyak 103 lagi unit kediaman di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis bakal dikenakan tindakan pengosongan susulan proses pemutihan yang dijalankan oleh kerajaan negeri bagi memastikan hanya golongan yang benar-benar layak sahaja menghuni kediaman tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Datuk Seri S. Sundarajoo berkata, meskipun tindakan itu dilihat tegas, namun, ruang untuk penghuni bermasalah mengemukakan rayuan serta dokumen berkaitan bagi membolehkan kes mereka dipertimbangkan sentiasa dibuka.

“Jadi, siapa-siapa yang datang merayu, kita beri mereka peluang untuk buat rayuan. Tetapi, jangan cuba politikkan perkara ini kerana kita mahu pastikan hanya mereka yang benar-benar layak sahaja yang boleh tinggal di PPR yang disediakan,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, sebahagian daripada penghuni PPR Taman Manggis khususnya mereka yang dikenakan tindakan pengosongan unit kediaman merayu kerajaan negeri menangguhkan proses pengusiran dan memberi ruang untuk mendapatkan penempatan baharu yang lebih sesuai.

Mengulas lanjut, Sundarajoo berkata, meskipun 19 unit kediaman telah dikosongkan setakat ini, namun, kerajaan negeri turut memberikan kelonggaran kepada beberapa penghuni PPR Taman Manggis yang bermasalah termasuk seorang individu yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU).

Katanya, penghuni yang berdepan tindakan pengosongan unit kediaman itu juga telah diberikan tempoh antara satu hingga dua bulan untuk berpindah, malah, kerajaan negeri bersedia memberikan masa tambahan sekiranya mereka benar-benar mempunyai masalah untuk mendapatkan kediaman baharu.

“Surat itu (arahan pengosongan unit kediaman) kita sudah keluarkan awal tahun ini. Kita juga ada tawarkan rumah untuk disewa beli, tetapi, mereka ini tidak mahu. Jadi, kita tidak boleh terus memberi tempoh kerana di luar sana masih ramai orang yang memang tak ada rumah,” katanya.

Sementara itu, beliau menafikan dakwaan bahawa kerajaan negeri atau pentadbiran terdahulu pernah menawarkan unit PPR Taman Manggis untuk dimiliki secara sewa beli selepas tempoh tertentu, sebaliknya, meminta pihak yang membuat dakwaan itu supaya mengemukakan bukti bertulis.

“Kalau sesiapa boleh tunjuk kepada saya surat di mana kita (kerajaan negeri) pernah beri tawaran supaya unit ini boleh disewa beli, mari jumpa saya. Setahu saya, kita tidak pernah ada dalam rekod untuk sewa beli,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×