KUALA LUMPUR: Kira-kira 9,000 hingga 10,000 pekerja yang pada peringkat awal memilih untuk tidak mencarum dalam Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (Lindung 24 Jam) kembali menyertai skim berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohamed berkata, perkembangan itu direkodkan selepas pekerja diberi pilihan untuk kembali mencarum meskipun sebelum ini memilih keluar daripada skim berkenaan.
Katanya, Perkeso akan terus memberi penerangan dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan 12.4 peratus pekerja yang memilih keluar supaya mereka mempertimbangkan untuk kembali menyertai Lindung 24 Jam.
“Walaupun 12.4 peratus opt-out, kita akan berusaha untuk memberi taklimat dan kesedaran kepada mereka untuk opt-in.
“Kira-kira 9,000 hingga 10,000 yang pada peringkat awal opt-out telah kembali semula,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Perkeso di sini semalam.
Mohammed Azman berkata, pekerja yang telah memilih keluar sebelum tempoh berkenaan berakhir pada 31 Ogos lalu masih boleh kembali mencarum pada bila-bila masa.
Bagaimanapun, beliau berkata, pekerja tidak lagi dibenarkan memilih keluar daripada Lindung 24 Jam selepas tempoh kelonggaran untuk berbuat demikian berakhir pada 31 Ogos lalu.
Katanya, tempoh opt-out tidak akan dibuka semula kerana tindakan itu boleh menimbulkan kekeliruan terhadap sistem sumber manusia majikan serta sistem Perkeso.
Dalam pada itu, Mohammed Azman berkata, seramai 8.5 juta atau 87.6 peratus pekerja memilih untuk kekal mencarum dalam Lindung 24 Jam.
Daripada pekerja yang memilih keluar, sebanyak 52 peratus bergaji bawah RM3,500, manakala baki 48 peratus menerima gaji RM3,500 ke atas.
Mengikut pecahan negeri pula, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya merekodkan peratusan tertinggi pekerja yang memilih keluar iaitu 53 peratus, diikuti Johor (11 peratus), Pulau Pinang (sembilan peratus) serta negeri-negeri lain sebanyak 27 peratus.
Mohammed Azman berkata, beliau bimbang apabila lebih separuh daripada pekerja yang memilih keluar terdiri daripada golongan bergaji bawah RM3,500 yang memerlukan perlindungan keselamatan sosial.
“Kami berharap mereka akan memikirkan semula dan mempertimbangkan kepentingan perlindungan sekiranya berlaku kemalangan, kecederaan atau hilang upaya sehingga tidak mampu bekerja,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak 6,330 tuntutan diterima setakat 31 Ogos lalu dengan jumlah bayaran faedah mencecah RM9.97 juta, manakala purata tuntutan diterima kira-kira 69 kes sehari.
Katanya, 74 peratus pekerja yang membuat tuntutan bergaji bawah RM3,500, dengan majoritinya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan pekerja muda.
“Majoriti yang membuat tuntutan adalah golongan berpendapatan rendah dan golongan muda. Ini adalah data yang kita ada,” katanya. – UTUSAN










