PETALING JAYA: Sime Darby Berhad (Sime) meraih untung bersih sebanyak RM1.76 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, susut berbanding RM2.1 bilion pada tahun sebelumnya.
Bagi tempoh sama, untung bersih teras kumpulan meningkat 32.6 peratus berbanding 2025 kepada RM1.55 bilion, dipacu terutamanya oleh sumbangan lebih kukuh daripada bahagian automotif.
Sime merekodkan hasil sebanyak RM69.5 bilion, berbanding RM70.1 bilion yang dicatatkan pada 2025, dengan pulangan atas ekuiti (ROE) teras meningkat daripada 6.2 peratus pada 2025 kepada lapan peratus pada 2026.
Kumpulan mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 11 sen sesaham.
Apabila mengambil kira dividen interim pertama sebanyak 3 sen sesaham, bayaran dividen keseluruhan bagi tahun kewangan 2026 berjumlah 14 sen sesaham, bersamaan dengan RM954 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, Sime menempuh ketidakpastian di beberapa pasaran penting pada tahun ini, dengan tekanan persaingan dalam sektor automotif dan permintaan lebih rendah dalam rantaian nilai sektor sumber asli, yang menjejaskan bahagian perindustrian.
“Walaupun menghadapi persekitaran tersebut, kami mencatatkan keputusan yang kukuh bagi tahun kewangan yang dilaporkan, mencerminkan daya tahan dan usaha gigih seluruh Kumpulan.
“Dalam bahagian automotif, perniagaan kami di China mencatatkan pemulihan, manakala kami terus mencatatkan jualan kenderaan elektrik yang lebih tinggi di Singapura dan jualan kenderaan keseluruhan yang lebih tinggi di Malaysia.
“Bagi bahagian perindustrian, operasi Malaysia menjana hasil lebih tinggi hasil penyerahan pusat-pusat data. Portfolio yang pelbagai serta jejak geografi kumpulan terus kekal sebagai gandingan kemenangan bagi Sime, membolehkan kami mencatatkan keputusan yang kukuh sambil mengharungi kitaran pasaran,” katanya dalam kenyataan.
Bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2026, untung bersih teras meningkat sebanyak 55 peratus kepada RM518 juta, disokong oleh prestasi automotif yang lebih memberangsangkan.
Bahagian ini melaporkan untung sebelum faedah dan cukai (PBIT) yang lebih tinggi sebanyak RM55 juta, disokong oleh pendapatan dividen daripada perniagaan automotif di Malaysia, jualan kenderaan elektrik (EV) yang lebih tinggi di Singapura serta margin lebih tinggi daripada operasi di Hong Kong, Macau dan Taiwan.
Sementara itu, bahagian perindustrian mencatatkan PBIT berjumlah RM348 juta, dengan hasil yang lebih tinggi daripada penyerahan penting projek pusat data di Malaysia mengimbangi sebahagian daripada sumbangan lebih rendah daripada operasi Australia dan kemerosotan nilai yang diiktiraf pada suku tahun yang dilaporkan.
Dalam pada itu, bahagian UMW mencatatkan PBIT sebanyak RM219 juta bagi suku tahun yang dilaporkan, dengan sumbangan bahagian keuntungan lebih tinggi daripada Perodua menampung sebahagian daripada penyusutan prestasi dalam perniagaan automotif.
Jeffri berkata, kumpulan mengharungi satu tahun yang mencabar dan Sime kini berada pada kedudukan yang kukuh dari segi operasi, seperti yang dilihat daripada peningkatan untung bersih teras.
“Meninjau ke hadapan, kumpulan meramalkan cabaran pasaran yang berterusan. Strategi teras kekal tertumpu kepada usaha memperkukuh kerjasama erat dengan jenama-jenama global terkemuka serta meningkatkan bahagian pasaran demi mencapai pertumbuhan mampan dalam jangka panjang,” jelasnya. – UTUSAN










