Tiada kompromi perosak terumbu karang Pulau Redang

Tiada kompromi perosak terumbu karang Pulau Redang

KEADAAN terumbu karang yang rosak di sekitar Pulau Redang, Terengganu yang dipercayai berpunca daripada aktiviti bot pelancongan, khususnya bot lawatan harian yang melabuhkan sauh di kawasan yang tidak dibenarkan. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Tiada kompromi diberikan terhadap mana-mana pengusaha atau pengendali bot pelancongan yang didapati merosakkan terumbu karang di sekitar Pulau Redang, dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, tindakan penguatkuasaan termasuk semakan semula kebenaran operasi serta cadangan hukuman lebih berat dipertimbangkan sekiranya terdapat pihak yang didapati melanggar peraturan.

“Tiada kompromi terhadap mana-mana pengusaha atau pengendali bot yang didapati merosakkan terumbu karang atau mengabaikan prosedur operasi yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kerosakan terumbu karang di sekitar Pulau Redang yang dipercayai berpunca daripada aktiviti bot pelancongan, khususnya bot lawatan harian yang melabuhkan sauh di kawasan yang tidak dibenarkan.

Menurutnya Razali, sekiranya dakwaan tersebut terbukti benar, perbuatan itu merupakan tindakan tidak bertanggungjawab kerana memusnahkan ekosistem marin yang mengambil masa puluhan malah ratusan tahun untuk terbentuk.

“Segala usaha pemuliharaan yang dilaksanakan oleh kerajaan, agensi penguat kuasa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penyelidik dan komuniti setempat tidak boleh dibiarkan musnah akibat sikap segelintir pihak yang hanya mengejar keuntungan,” katanya.

Sehubungan itu, Razali berkata, beliau telah mengarahkan satu Sesi Libat Urus Khas diadakan pada 26 hingga 28 Ogos ini yang membabitkan semua jabatan dan agensi berkaitan, pengusaha bot pelancongan, pengusaha resort, persatuan pelancongan serta pihak berkepentingan.

Katanya, sesi tersebut bukan sekadar perbincangan, sebaliknya menjadi platform untuk mengenal pasti punca sebenar kerosakan, meneliti kelemahan penguatkuasaan serta menetapkan tindakan lebih tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan.

“Pulau Redang adalah khazanah negeri dan warisan negara. Keuntungan daripada industri pelancongan tidak boleh dibina dengan mengorbankan alam sekitar. Semua pihak mesti memikul tanggungjawab bersama untuk memastikan pembangunan pelancongan di Terengganu kekal mampan demi generasi akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×