Sindiket dalang ceroboh Hutan Simpan Kuala Langat Selatan

Sindiket dalang ceroboh Hutan Simpan Kuala Langat Selatan

KAWASAN tanaman pisang yang dibakar peneroka haram untuk penanaman semula di atas tanah Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Selatan, Selangor. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sindiket perusahaan pertanian yang turut mengupah pekerja warga asing dipercayai menjadi dalang insiden pencerobohan kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Selatan (HSKLS) seperti yang dilaporkan akhbar ini semalam.

Kewujudan sindiket didalangi rakyat tempatan itu kemudian menjadikan pekerja mereka sebagai ‘kambing hitam’ untuk menjalankan aktiviti pertanian di dalam kawasan hutan berkenaan sehingga ditahan oleh pihak berkuasa.

Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, hal sedemikian menyebabkan tindakan penguatkuasaan hanya dapat diambil terhadap pekerja yang berada di tempat kejadian.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, tindakan terhadap dalang dalam sindiket tersebut pula memerlukan siasatan dan pengenalpastian identiti mereka, justeru proses tersebut memakan masa.

“Pada tahun ini, terdapat empat individu termasuk dua warga asing dipercayai pekerja ladang di kawasan yang diceroboh itu sudah ditahan. Kedua-dua warga asing sudah pun didakwa di bawah Seksyen 47, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985.

“Sedangkan sindiket tersebut masih bebas walaupun aktiviti pertanian di kawasan berkenaan sudah pun berada dalam pemantauan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Semalam, akhbar ini melaporkan lebih 200 hektar kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Kuala Langat Selatan digondolkan peneroka haram untuk pertanian komersial yang mengaut keuntungan jutaan ringgit.

Lebih membimbangkan, penerokaan haram yang berjalan dengan membakar hutan tanah gambut itu masih berterusan walaupun pelbagai operasi penguatkuasaan dilaksanakan.

JPNS turut mengesahkan 200 hektar keluasan hutan yang terlibat itu merupakan dalam kawasan permit dan pernah berdepan dengan masalah pencerobohan dengan aktiviti pertanian sejak 2008.

“Ia antara kawasan yang kerap berlaku kebakaran dan dipercayai berpunca daripada aktiviti disengajakan sindiket terbabit supaya dapat menjalankan aktiviti pertanian di sana.

“Kebakaran di sana mencetuskan jerebu di kawasan sekeliling hutan simpan itu dan kemudian masalah itu kerap berlaku akibat daripada aktiviti pertanian berkenaan,” jelasnya.

Tambah pihak berkuasa perhutanan itu, tindakan dan hukuman berat sukar dikenakan kepada individu yang ditahan.

“Penceroboh itu cuba bertindak bijak. Apabila dikesan oleh penguat kuasa, mereka melarikan diri masuk ke kawasan hutan. Sukar untuk JPNS membuktikan mereka terlibat dengan aktiviti pertanian.

“Ada juga yang apabila ditahan dan dirampas hasil tanamannya, mereka membuat aduan kepada ahli politik dan sebagainya dengan alasan kononnya ada permit untuk membuat tanaman kontan. Sikap itu menyebabkan tindakan penguatkuasaan sukar dilakukan dengan baik,” katanya yang memaklumkan akan memulihara kawasan hutan diceroboh itu secara berperingkat kerana melibatkan kawasan yang luas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini