Projek bina semula sekolah daif RM7.998 juta siap 310 hari lebih awal  

Projek bina semula sekolah daif RM7.998 juta siap 310 hari lebih awal  

ALEXANDER Nanta Linggi (empat dari kanan) menerima penyerahan projek daripada daripada Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) , Datuk Ir. Hafizah Zakaria sempena Majlis Penyerahan Projek Ahead Of Time Pembinaan Semula Bangunan Daif di SK FELDA Kota Gelanggi 1, dekat Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Projek pembinaan semula bangunan daif di Sekolah Kebangsaan (Felda) Kota Gelanggi 1, di sini bernilai RM7.998 juta dapat disiapkan 310 hari lebih awal daripada jadual asal.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek berkenaan bermula pada 13 Januari 2025 dan siap sepenuhnya pada 26 Jun lalu tanpa sebarang lanjutan masa (EOT).

Beliau berkata, pencapaian itu membuktikan projek kerajaan bukan sahaja perlu memenuhi aspek kualiti malah dilaksanakan secara cekap, berintegriti dan menepati tanggungjawab kepada rakyat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pencapaian seperti ini wajar dijadikan penanda aras dalam pelaksanaan projek pembangunan kerajaan pada masa depan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Daif Pahang (2023) di SK (Felda) Kota Gelanggi 1, di sini, hari ini.

Projek berkenaan merangkumi pembinaan sebuah blok akademik baharu yang menyediakan tiga bilik darjah, bilik sains, bilik seni dan bilik kesihatan. Turut dibina Blok Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang dilengkapi bilik darjah serta kemudahan khusus bagi murid berkeperluan pendidikan khas.

Nanta Linggi berkata, aspek aksesibiliti turut diberi perhatian menerusi penyediaan kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) termasuk tandas khas, tempat letak kenderaan, bilik pengurusan diri dan laluan ramp.

Kemudahan sokongan lain termasuk surau, rumah pam, sistem elektrikal dan mekanikal, sistem pembentungan, tempat letak kenderaan serta laluan berbumbung.

Menurut beliau, penyediaan infrastruktur pendidikan yang inklusif penting bagi memastikan semua murid mendapat persekitaran pembelajaran yang selamat, selesa dan memenuhi keperluan mereka.

“Sekolah bukan sekadar sebuah bangunan. Di sinilah anak-anak kita menimba ilmu, membina keyakinan dan mula mengimpikan masa depan mereka. Sebab itu, apabila kita menyediakan infrastruktur sekolah yang baik, kita sebenarnya sedang menyediakan peluang yang lebih baik kepada generasi akan datang,” katanya. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini