Piza cita rasa Itali dengan suasana kampung

Piza cita rasa Itali dengan suasana kampung

Makwa Pizzeria yang beroperasi di Kampung Utan Kandis, di Arau, Perlis
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI SEBALIK suasana kampung yang tenang, wujud sebuah kedai unik menghidangkan piza neapolitan dengan keharuman aroma doh dibakar menggunakan ketuhar batu.

Bukan sekadar piza, Makwa Pizzeria yang beroperasi di Kampung Utan Kandis, di Arau, Perlis turut menjadikan suasana kampung sebagai sebahagian daripada pengalaman pelanggan, sekali gus tampil dengan kelainan konsep berbanding kebanyakan kedai lain.

Bermula dengan minat mendalam dalam bidang pembuatan piza, pasangan suami isteri, Muhammad Zulfadhli Rodi, 29, dan Nur Afiqah Najwa Noh, 28, memulakan perniagaan itu hasil percubaan kecil-kecilan dengan memasarkannya secara tempahan sekitar tahun 2023.

Setahun selepas itu, pasangan itu kemudian memberanikan diri mengembangkan perniagaan di premis rumah kayu yang dibangunkan bersebelahan kediaman mereka hanya kira-kira 50 meter dari jalan utama kampung berkenaan.

Umum mungkin tidak mengetahui piza neapolitan adalah merupakan gaya piza tradisional dari Naples, Itali, dengan bahagian tengahnya nipis dan lembut namun gebu serta mempunyai tompok hitam dibakar pada suhu sangat tinggi.

Antara paling melekat dengan selera, hidangan seperti piza Big Breakfast yang menggabungkan rasa lemak dengan keenakan topping ringkas bersama doh lembut serta gebu.

Selain itu, kedai yang berkonsepkan rumah kayu lama itu turut membangkitkan suasana dan menjadi daya penarik buat pengunjung bagi menikmati hidangan ditawarkan di sini.

Nur Afiqah berkata, keputusan mereka membuka kedai piza di kampung itu bukan sekadar percubaan dalam mencari kelainan, sebaliknya merupakan usaha bagi membuktikan sesebuah perniagaan boleh berkembang biar pun jauh dari kesibukan bandar.

Dia berkata, suaminya sememangnya mempunyai minat mendalam terhadap pembuatan piza khususnya neapolitan yang pada ketika itu agak sukar diperoleh di Perlis.

“Kami bermula secara kecil-kecilan dengan menjual piza secara tempahan dan menyertai beberapa acara. Kemudian pada 2024, kami nampak peluang membuka kedai sendiri dan mengambil keputusan untuk mencuba,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia.

 

 

Menurut Nur Afiqah, antara keistimewaan utama kedai diusahakannya itu adalah penyediaan doh sendiri yang diuli segar setiap hari sebelum digunakan untuk menyediakan piza buat pelanggan.

Katanya, proses berkenaan penting dalam memastikan doh digunakan itu berada pada tahap kualiti terbaik, selain mengekalkan ciri piza neapolitan yang menjadi hidangan utama di kedainya.

“Hidangan yang menjadi pilihan pelanggan di sini adalah seperti piza big breakfast, manakala piza kambing bakar pula lebih kepada cita rasa Melayu dan piza Too Much Mushroom pula untuk penggemar makanan vegetarian. Selain itu, terdapat juga hidangan pasta Creamy Mustard

Chicken yang menjadi pilihan pelanggan di sini.

“Masa fasa awal kami beroperasi dengan kaedah ambil tempahan, harganya hanya RM25. Namun setelah beroperasi di kedai, kami menanggung beberapa kos tambahan dan terpaksa menaikkan harga kepada RM30 lebih,” ceritanya.

Ibu kepada dua anak itu berkata, suaminya berperanan bagi menguruskan bahagian dapur dan penyediaan piza malah dia turut mengikuti kelas di Petaling Jaya, Selangor, pada tahun 2024 bagi meningkatkan kemahirannya.

Katanya, walaupun menyertai kelas itu, suaminya mengambil masa kira-kira setahun untuk terus berlatih sebelum benar-benar yakin menghasilkan piza mengikut kaedah dipelajari.

“Piza neapolitan memerlukan ketelitian terutama dalam proses mengendalikan doh malah kemahiran berkenaan tidak dapat dikuasai untuk tempoh singkat. Dalam masa sama, kami juga menggunakan ketuhar batu berharga sekitar RM10,000 yang dapat memuatkan dua piza bagi satu-satu masa,” katanya.

Ujar Nur Afiqah, dalam tempoh sebulan, mereka menerima kehadiran pengunjung sekitar 1,000 orang dari seluruh negara.

Katanya, selain keunikan makanan, premis kedai tersebut yang dibangunkan mengikut rekaan rumah kayu lama turut menjadi antara tarikan buat pengunjung merasai pengalaman menikmati piza dengan suasana kampung.

“Kami bina kedai ini dari kosong malah ada juga kayu kami beli sendiri dan ada juga ambil dari rumah lama. Anggaran kasar kos pembinaan kedai ini tak termasuk dengan peralatan adalah sekitar RM300,000,” katanya.

Nur Afiqah berkata, buat masa ini, mereka mempunyai 10 pekerja bagi membantu pengoperasian kedai pada setiap hari kecuali Selasa, bermula pukul 3 petang sehingga 11 malam.-UTUSAN

“Sasaran kami selepas ini juga adalah untuk mengukuhkan lagi perniagaan di Makwa Pizzeria malah buat masa ini, saya lebih utamakan aspek pembangunan pekerja, khidmat pelanggan dan pemasaran,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×