Pesta Kopi Terengganu beri peluang pengunjung bancuh kopi ikut cita rasa

Pesta Kopi Terengganu beri peluang pengunjung bancuh kopi ikut cita rasa

SEBAHAGIAN orang ramai yang mengunjungi Pesta Kopi Terengganu (TCF)  yang menghimpunkan 30 peniaga dari seluruh Malaysia di KTCC Mall, Kuala Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pengunjung Pesta Kopi Terengganu (TCF) di KTCC Mall di sini, berpeluang menghasilkan sendiri minuman mengikut cita rasa masing-masing menerusi aktiviti membuat minuman sendiri yang menjadi antara tarikan utama penganjuran festival itu.

Penganjur TCF, Ahmad Haziq Badrol Hisham berkata, pengunjung boleh memilih daripada puluhan jenis sirap perisa yang disediakan untuk menghasilkan minuman pilihan mereka.

“Pengunjung juga boleh memilih sama ada mahu minuman kopi atau bukan kopi seperti soda dan coklat, selain memilih sirap perisa mengikut cita rasa masing-masing.

“Jadi, aktiviti ini bukan hanya untuk peminat kopi kerana mereka yang tidak gemar kopi juga boleh mencuba dan menghasilkan minuman sendiri,” katanya di sini.

Menurut Ahmad Haziq, aktiviti tersebut memberi pengalaman berbeza kepada pengunjung kerana mereka bukan sahaja dapat menikmati minuman yang disediakan peniaga, malah berpeluang mencuba sendiri proses menghasilkan minuman mengikut pilihan masing-masing.

Katanya, TCF yang berlangsung empat hari bermula semalam itu menghimpunkan 30 peniaga dari seluruh Malaysia termasuk seorang dari Singapura.

“Daripada jumlah itu, 10 peniaga adalah dari luar Terengganu, sekali gus menjadikan TCF sebagai platform menghimpunkan pemilik kedai kopi dan penggiat industri dari pelbagai negeri serta luar negara.

“Penganjuran kali keempat ini juga lebih istimewa apabila kita menampilkan juara dunia dalam bidang kopi,” katanya.

Menurutnya, TCF turut menyediakan pentas kebangsaan yang membabitkan dua kategori pertandingan dengan pemenang berpeluang mewakili Malaysia ke pertandingan kopi peringkat antarabangsa.

Katanya, penganjuran TCF bukan sekadar mengetengahkan kopi sebaliknya menjadi medan untuk orang ramai mengenali dengan lebih dekat industri dan penggiat kopi.

“Walaupun tidak minat kopi, orang ramai tetap boleh datang kerana terdapat pelbagai aktiviti dan pilihan minuman yang sesuai untuk mereka,” katanya.

Beliau berkata, TCF tahun lalu menerima kira-kira 40,000 pengunjung dan pihaknya menyasarkan lebih 50,000 pengunjung pada penganjuran tahun ini.

Sementara itu, seorang pengunjung, Muhd. Shafiq Yasin, 29, berkata, TCF menjadi antara acara yang dinantikannya kerana memberi peluang untuk mencuba pelbagai jenis kopi daripada peniaga yang berbeza.

Katanya, kehadiran pelbagai peniaga kopi pada satu acara memudahkannya untuk mengenali perbezaan dari segi rasa, aroma dan kaedah penyediaan kopi yang ditawarkan.

“Saya memang suka datang ke acara seperti ini kerana dapat mencuba pelbagai jenis kopi yang mungkin tidak pernah saya rasa sebelum ini. Setiap kali datang, saya boleh cuba kopi daripada peniaga yang berbeza dan mengenali pelbagai cita rasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×