PETALING JAYA: Penantian panjang dan pengorbanan Amir Daniel Abdul Majeed akhirnya berbalas dengan detik paling manis apabila atlet judo negara itu menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia dalam sejarah acara berkenaan di Sukan Komanwel.
Kejayaan mengungguli kategori bawah 81 kilogram (kg) itu bukan sahaja mencatat sejarah baharu buat sukan judo negara, malah menjadi ganjaran paling bermakna bagi penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) itu yang selama ini terpaksa mengimbangi komitmen sebagai atlet elit dan pelajar.
Atlet berusia 21 tahun dari Pulau Pinang itu mengakui rutin hariannya yang padat menyebabkan masa bersama keluarga amat terhad sehingga jarang berpeluang berbual dengan ibunya, namun segala pengorbanan itu kini dirasakan cukup berbaloi.
“Mungkin selepas ini saya boleh berehat selama seminggu dan meluangkan masa bersama keluarga.
“Pingat ini untuk seluruh rakyat Malaysia. Ini emas pertama judo Malaysia di Sukan Komanwel dan nilainya sangat besar buat saya.
“Segala pengorbanan, darah, keringat dan air mata akhirnya membuahkan hasil. Pengorbanan bukan sahaja dari segi masa dan kewangan, tetapi juga masa bersama keluarga.
“Setiap hari saya perlu menjalani latihan dan meneruskan pengajian sehingga tidak pernah ada masa untuk saya duduk dan bertanya kepada ibu bagaimana harinya,” katanya.
Pada aksi final di Scottish Event Campus (SEC) , Amir Daniel membuktikan kemampuannya apabila menewaskan atlet Afrika Selatan, Timothy Meuwsen menerusi waza-ari hasil teknik kata-guruma dalam pertarungan selama empat minit, sekali gus menghadiahkan emas kelapan buat kontinjen negara.
Kemenangan itu lebih manis apabila Amir Daniel yang menghuni ranking ke-117 dunia berjaya menundukkan Meuwsen yang berada di tangga ke-41 dunia, dengan aksi bersejarah itu turut disaksikan ibu, Yeoh Suatkhim serta kakaknya, Nur Yasmeen.
Lebih mengagumkan, kejayaan di Glasgow hadir selepas Amir Daniel berdepan ujian getir apabila mengalami koyakan ligamen kolateral medial (MCL) tahap dua pada awal tahun ini yang memaksanya menjalani beberapa siri rawatan sebelum kembali ke gelanggang.
Bagaimanapun, kecederaan itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus memburu kejayaan.
Sebagai rekod, Amir Daniel sebelum ini turut mencipta sejarah apabila menyumbang pingat pertama Malaysia dalam acara judo di Sukan Komanwel menerusi gangsa kategori bawah 73kg pada edisi Birmingham 2022.-UTUSAN











