Penduduk Bukit Malut sedia pindah ke tempat baharu

Penduduk Bukit Malut sedia pindah ke tempat baharu

PENEMPATAN komuniti Melayu Islam Kedah yang dibina di atas air di perkampungan Bukit Malut, Langkawi. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Penduduk di Bukit Malut, Langkawi bersedia pindah ke kediaman baharu yang lebih teratur jika projek itu dibangunkan oleh kerajaan kelak.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bukit Malut, Mohamad Fadzli Abdullah berkata, penduduk tidak keberatan berpindah sekiranya kerajaan menyediakan kediaman yang lebih selesa, selamat dan mempunyai kemudahan asas yang lengkap.

Katanya, perkara paling pen­ting ialah penempatan baharu itu mengambil kira keperluan komuniti setempat dan tidak menjejaskan sumber pendapatan penduduk, khususnya golongan nelayan.

“Kami menyokong kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menyatakan perlu dibina rumah berharga bawah RM200,000 kepada komuniti ini.

“Malah, apa yang dinyatakan Menteri Besar tentang perlu bina kediaman yang tidak jauh dari laut juga tepat kerana majoriti penduduk di sini adalah nelayan walaupun ada yang sudah be­kerja dalam bidang profesional,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Isnin lalu, Muhammad Sanusi mengulangi kesediaan kerajaan negeri membina kira-kira 1,400 rumah yang lebih terancang de­ngan syarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyelesaikan isu pengambilan tanah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Katanya, penduduk Bukit Malut juga menyatakan kesediaan membeli rumah yang diba­ngunkan, namun harga perlu berada pada tahap mampu milik, terutama dalam lingkungan RM200,000 dan ke bawah.

Sebelum ini, akhbar melaporkan kira-kira 92.2 peratus daripada 5,500 penduduk Bukit Malut merupakan warganegara dan memiliki MyKad yang sah serta dikenali sebagai komuniti MIK yang mempunyai latar belakang sejarah tersendiri.

Sementara itu, ujar Mohamad Fadzli, tanah milik LKIM yang disebut Muhammad Sanusi juga tidak jauh daripada penempatan sedia ada, sekali gus tidak mendatangkan masalah kepada penduduk untuk berpindah.

“Tapak itu dahulu adalah kolam udang yang pernah diusahakan tetapi kini terbiar sahaja tanpa apa-apa pembangunan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×