Masa depan Bersatu di Perlis makin kelam

Masa depan Bersatu di Perlis makin kelam

MEGAT HASHIRAT HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EPISOD beberapa pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meletak jawatan dalam parti termasuk di Perlis mengundang persoalan mengenai nasib parti itu yang dilihat semakin parah.

Siri peletakan jawatan pemimpin utama Bersatu Perlis bermula dengan Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah dan seorang Exco kerajaan negeri, Datin Marzita Mansor yang melepaskan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti.

Bagaimanapun, kedua-dua­nya masih mengekalkan jawatan sebagai Pengerusi Bersatu negeri dan Ketua Srikandi Bersatu Perlis.

Lebih memberi kesan ialah tindakan Setiausaha Bersatu negeri merangkap Ahli Dewan Negara, Azahar Hassan yang keluar parti dan menyertai Parti Wawasan Negara (Wawasan), selain kini mengetuai parti berke­naan di Perlis.

Kata Azahar kepada Utusan Malaysia baru-baru ini, pergolakan dalaman serta tindakan memecat pemimpin Bersatu sebelum ini menjadi antara punca akar umbi mula hilang keyakinan terhadap pucuk pimpinan parti.

Nasib Abu Bakar sebagai Pengerusi Bersatu negeri pula masih samar selepas timbul desas-desus beliau bakal dipecat sebagai tindak balas terhadap keputusannya melepaskan jawatan dalam MPT.

Abu Bakar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis bagaimanapun menyerahkan keputusan itu kepada Presiden, Tan Sri Muhyid­din Yassin sama ada mahu mengekalkan beliau atau sebaliknya.

Terbaharu, seorang lagi Exco kerajaan negeri, Megat Hashirat Hassan mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Bersatu Bahagian Arau.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan semasa parti dan melalui pertimbangan sewajarnya.

Kebanyakan pemimpin yang meletak jawatan dan keluar parti itu merupakan antara orang kuat Bersatu di Perlis. Perkembangan tersebut sekali gus menimbulkan persoalan mengenai nasib Bersatu negeri itu dalam mendepani PRU16.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) berjaya memenangi lima kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen.

Namun, selepas hubungan Bersatu dan Pas terputus, agak sukar bagi Bersatu mengulangi pencapaian sama pada PRU16.

Realitinya, dalam konteks Perlis, Bersatu agak sukar bergerak tanpa Pas. Talian hayat yang ada ketika ini adalah menyertai Wawasan yang merupakan komponen PN dan lebih penting, parti itu diketuai Datuk Seri Hamzah Zainudin serta mendapat dukungan cukup kuat daripada Pas.

Azahar antaranya sudah mengambil langkah awal menyertai Wawasan. Namun, ADUN Bersatu ketika ini tidak boleh berbuat demikian kerana terikat dengan akta lompat parti.

Boleh dikatakan masa depan Bersatu di Perlis ketika ini agak kelam. Namun, sejauh mana parti itu mampu bertahan bergantung kepada strategi politik yang bakal diambil selepas ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×