KUALA LUMPUR: Kerjasama politik antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) mungkin menjadi antara perkara yang dibawa dalam Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 yang berlangsung awal September ini.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, antara perkara yang dijangka mendapat perhatian dalam muktamar berkenaan ialah penyatuan ummah serta kerjasama politik.
“Dia banyak usul-usullah. Salah satu yang pastinya adalah penyatuan ummah dan juga gabungan kerjasama politik.
“Perkara itu antara usul yang mungkin dibawa dalam Muktamar Pas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Musyawarah Nasional Realiti dan Persepsi: Jangan Mempolitikkan Tabung Haji di sini hari ini.
Menurut Takiyuddin, rundingan mengenai kerjasama politik berkenaan sudah dimulakan namun masih belum dimuktamadkan.
“Kita sudah memulakan perundingan, tapi belum selesai lagi. Masih di peringkat perundingan untuk menentukan apa kaedah yang kita hendak lakukan,” katanya.
Ditanya mengenai perkembangan rundingan antara PN dan BN itu, beliau menyifatkannya sebagai sangat positif.
Bagaimanapun, Takiyuddin berkata, butiran lanjut mengenai bentuk kerjasama kedua-dua gabungan berkenaan masih dalam proses rundingan.
Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-72 dijadual berlangsung pada 4 dan 5 September ini bersamaan 22 dan 23 Rabiulawal 1448H di Pusat Tarbiyah Islam Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, Kelantan. – UTUSAN











