Biarlah saya tinggalkan dunia radio dengan aman - Ili Ruzana - Utusan Malaysia

Biarlah saya tinggalkan dunia radio dengan aman – Ili Ruzana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas penyampai radio, Ili Ruzana enggan melayan spekulasi yang bertebaran mengenai tindakannya yang secara tiba-tiba meninggalkan stesen radio hitz, baru-baru ini.

Enggan mengiyakan atau menidakkan khabar angin tersebut, Ili lebih memilih untuk berdiam, meninggalkan stesen radio berkenaan secara baik dan memberi tumpuan kepada perancangan hidup selepas ini.

“Bacalah apa sahaja spekulasi di Thread. Saya tidak mengiyakan atau menidakkannya. Orang suka kepada perkara sensasi dan gosip. Lama kelamaan ianya akan senyap.

“Saya tak boleh berbuat apa pasal spekulasi itu. Biarlah saya simpan sendiri kebenarannya. Seperti yang saya katakan, saya tidak mengiya atau pun menidakkannya (orang ketiga).

“Biarlah saya tinggalkan dunia radio dengan aman. Jika mengupas lebih lanjut pasal kenapa saya tinggalkan radio itu, ia hanya akan membuka ruang untuk lebih ramai orang bercakap mengenainya.

“Saya tak mahu semua itu. Yang saya mahukan adalah semua orang teruskan kehidupan seperti biasa dengan aman,” katanya yang ditemui semasa pelancaran Single terbaru penyanyi, Syasya Rizal baru-baru ini.

Ili bagaimanapun lega kerana bekas majikan dan rakan sekerja menerima baik peletakkan jawatannya selaku penyampai radio berkenaan. 

“Alhamdulillah saya gembira. Majikan saya hormati permintaan saya untuk tinggalkan radio. Jadi selepas 10 tahun, saya berhenti sebagai penyampai.

“Hubungan dengan bekas rakan sekerja tetap baik. Industri kita kecil, kita pasti akan berjumpa juga. Saya harap mereka tidak ada masalah dengan saya.

“Tidak ada perkara yang kekal. Allah ada perancangan untuk saya. Saya terima seadanya,” ujarnya.

Sementara itu pemilik nama penuh Ili Ruzana Iqbal itu tidak menolak sekiranya diberi peluang untuk menceburi bidang lakonan asalkan bersesuaian dengan watak yang diberikan.

“Jika ada peluang, saya terima. Sebenarnya saya dapat tawaran berlakon sebelum ini, tapi disebabkan bercanggah dengan jadual radio, saya terpaksa tolak.

“Tapi sekarang ini saya terbuka terima apa sahaja tawaran yang diberikan, mungkin masanya untuk saya beralih bidang pula.

“Saya tak tahulah bagaimana hasilnya (berlakon) sebab saya tak pernah cuba,” katanya lagi.

Ili buat masa ini memberi tumpuan kepada perancangan hidup seterusnya termasuk untuk menghasilkan album dan menganjurkan showcase nanti.

“Saya menyanyi sejak tujuh tahun lalu. Jadi selepas berhenti menjadi penyampai radio, mungkin saya akan fokuskan penghasilan album (EP) dan showcase pada Oktober ini.

“Tiba masanya untuk saya membuat kemunculan semula dalam bidang nyanyian.

“Buat masa ini saya hanya ingin fokus kepada perkara lain. Saya mahu tumpukan kepada nyanyian, mengembara ke negara lain dan mungkin mempertimbangkan untuk tawaran berlakon,” kongsinya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN