Belajar bahasa untuk tembusi Indonesia - Hazman Al Idrus - Utusan Malaysia

Belajar bahasa untuk tembusi Indonesia – Hazman Al Idrus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERCUBAAN berhasil beberapa aktor tempatan, seperti Bront Palarae dan Miller Khan menembusi industri perfileman Indonesia mendorong pelakon, Hazman Al-Idrus, 31, terbang ke negara seberang untuk mencari peluang.

Tiada istilah merajuk atau berkecil hati dengan industri seni tempatan, Hazman atau nama sebenarnya Syed Muhammad Hazman bin Syed Yusof Al-Idrus bertekad untuk mengintai peluang di lapangan yang berlainan.

Menurut anak kelahiran Terengganu ini, penghijrahan ke Indonesia telah membuka mata tentang rezeki Allah S.W.T yang maha luas.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tidak timbul soal merajuk kerana saya berlakon semata-mata untuk mencari nafkah. Bukan tidak mencuba di negara sendiri, namun mungkin ketika itu tiada rezeki.

“Kebanyakkan drama dan telemovie yang saya lakonkan di peringkat tempatan tidak berjaya menaikkan nama saya. Bukan tidak mencuba, tapi saya berdepan kesukaran untuk tembus pasaran tempatan. Dalam masa yang sama, masalah pandemik yang menular di seluruh dunia sekitar tujuh tahun lalu membuatkan banyak syarikat produksi ‘tutup kedai’.

“Kemudian saya terlihat banyak peluang di Indonesia kerana industri perfileman di sana, walaupun turut terkesan dengan perintah berkurung, namun tetap berkembang bagai cendawan tumbuh selepas hujan kerana tumpuan mereka dialihkan kepada perkhidmatan media dalam talian (OTT),” katanya kepada Utusan Malaysia.

ADS:D

Hazman sebenarnya sebelum berhijrah ke Indonesia, telah lama merancang untuk mengubah nasib hidupnya. Hanya sekitar 2022 barulah dia mempunyai keberanian untuk pergi ke Indonesia.

“Saya merancang agak lama, sejak 2017 lagi. Dalam enam tahun itu saya membuat persediaan banyak perkara, mengkaji sedalam-dalamnya industri perfileman Indonesia. Jadi saya datang ke sana dalam keadaan cukup bersedia,” katanya lagi.

Pelakon filem Peluru Senja (The Ghost and The Gun) ini mengakui tidak mudah untuk mencari peluang di Indonesia dek kepelbagaian dialek yang terdapat di negara tersebut.

“Benar, bahasa yang menjadi perantara di sana adalah bahasa Indonesia. Tetapi mereka mempunyai dialek yang pelbagai. Sebab itu, pelakon Malaysia, yang tidak menguasai dialek-dialek Indonesia, sekadar tahu berbahasa Indonesia standard, lambat naik.

“Kerana itulah saya ambil masa untuk belajar dan kaji bahasa dan budaya Indonesia. Alhamdulillah, apa yang saya lakukan itu berhasil.

“Dialek Indonesia penting untuk dipelajari bagi mereka yang ingin menembusi pasaran perfileman di sana.

“Saya menggunakan khidmat jurubahasa profesional untuk belajar dialek-dialek yang terdapat di sana. Saya minta diajar secara berperingkat supaya mudah faham. Selebihnya saya asah melalui pergaulan dengan rakan-rakan di Indonesia,” kongsinya.

Dalam masa yang sama, Hazman memberitahu persaingan juga menjadi cabaran terbesar bagi pelakon Malaysia yang ingin mencuba nasib di Indonesia. Usaha anak tempatan ke sana hanya tinggal sia-sia jika tiada kegigihan dan kerja keras serta kesabaran yang tinggi.

“Saya perlu bersaing dengan mereka yang sudah biasa berbahasa Indonesia. Adakalanya perkara itu membawa tekanan kepada saya. 

“Sampai ada hamba Allah yang memandang rendah diri saya mengatakan saya tidak akan berjaya di sana kerana perbezaan bahasa yang nyata. Tapi saya tak mengalah. Enam bulan selepas itu, saya sudah berada di Indonesia, berlakon di sana.

“Komen negatif tidak memberi kesan, saya anggap sahaja ia sebagai penawar maju ke depan dan sebagai sebagai peringatan untuk terus merendah diri,” kongsinya lagi.

PELURU SENJA (THE GHOST AND THE GUN)

SELEPAS enam tahun berkelana, Hazman akhirnya mampu menarik nafas lega apabila dia buat pertama kalinya, ditawarkan membawakan watak utama dalam filem Peluru Senja (The Ghost and The Gun).

Kata Hazman, beliau amat bersyukur kerana Filem bergenre drama perang arahan sutradara Ashnul Tiwari telah menonjolkan kebolehan sebenar dia sebagai pelakon serba boleh.

“Sebenarnya saya pergi ke sesi uji bakat untuk watak pembantu. Namun, rezeki saya apabila pengarah, Anshul Tiwari menawarkan saya watak utama.  Demi menonjolkan bakat, saya terima.

“Saya teruja apabila diberi watak utama, tetapi saya tidak mengwar-warkannya kerana saya bekerja bukan kerana populariti atau mahu menonjol. 

“Saya lebih ingin mengambil peluang dan belajar untuk mengasah bakat lakonan yang saya ada,” katanya.

Pelakon tinggi lampai ini juga memaklumkan pembabitan dalam filem tersebut diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang untuk dia berkongsi bakat di peringkat antarabangsa.

“Bukanlah watak utama yang saya kejar. Sebenarnya kerjasama dengan produksi luar yang saya idamkan. Produksi filem ini adalah syarikat antarabangsa, jadi setidaknya saya ingin mengintai peluang berlakon di peringkat global. Insya-Allah.

“Apabila ada hubungan yang baik dengan produksi, peluang untuk ke peringkat global itu lebih cerah,” kongsinya.

Peluru Senja (The Ghost and The Gun) yang bakal menjengah pawagam seluruh negara bermula 28 Ogos ini diterbitkan syarikat produksi antarabangsa iaitu FilmsPositive, LDNO Productions, Limbo Pictures dan Viking Sunset Studio.  Filem tersebut turut menampilkan Fabian Loo dan Asmara Abigail sebagai peranan utama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN