PUTRAJAYA: Kementerian Luar menerima laporan daripada ahli keluarga, rakan dan majikan berhubung 57 warganegara Malaysia yang masih belum dapat dihubungi setakat 11 malam semalam susulan banjir besar di Daerah Rasuwa, Nepal.
Menurut Wisma Putra, pihaknya melalui Perwakilan Diplomatik Malaysia di rantau berkenaan, sedang membuat semakan lanjut berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada pihak berkuasa dan agensi berkaitan di Nepal.
Katanya, pihak berkuasa tempatan di Nepal telah melaporkan bahawa 31 warganegara asing berjaya diselamatkan setakat ini.
“Kementerian belum menerima pengesahan sama ada terdapat warganegara Malaysia dalam kalangan mereka yang diselamatkan.
“Kementerian turut menerima maklumat bahawa terdapat kemungkinan warganegara Malaysia memasuki kawasan yang terjejas melalui China dan India.
“Sehubungan itu, ahli keluarga kepada warganegara Malaysia yang sedang berada atau melakukan perjalanan di rantau berkenaan dan masih belum berdaftar digesa untuk menyalurkan maklumat berkaitan kepada Kementerian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perwakilan Diplomatik Malaysia di rantau ini turut bekerjasama dengan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Kementerian Luar Negeri Nepal dan Lembaga Pelancongan Nepal bagi menyemak maklumat mengenai warganegara Malaysia yang masih belum dapat dihubungi.
Jelasnya, pihak polis, agensi keselamatan, pihak berkuasa tempatan dan penduduk di Nepal terus melaksanakan operasi mencari dan menyelamat di kawasan yang terjejas akibat banjir, di samping mengevakuasi keluarga dari lokasi yang berisiko dilanda banjir susulan.
“Berikutan kerosakan teruk pada laluan darat serta gangguan komunikasi di sebahagian besar kawasan yang terjejas, helikopter digunakan secara meluas bagi operasi berkenaan.
“Individu yang memerlukan rawatan perubatan segera diterbangkan ke hospital utama di Kathmandu, manakala mereka yang mengalami kecederaan ringan menerima rawatan di pusat perubatan di kawasan terjejas,” katanya.
Bilik Operasi Kementerian di Putrajaya kini beroperasi 24 jam sehingga dimaklumkan kelak bagi menyelaras maklumat dan membantu warganegara Malaysia di kawasan yang terjejas serta ahli keluarga mereka.
Ahli keluarga yang mempunyai maklumat berkaitan, termasuk nama penuh, nombor pasport, jadual perjalanan, lokasi terakhir dan nombor telefon yang boleh dihubungi, digesa menghubungi Kementerian melalui saluran berikut:
Bilik Operasi Kementerian Luar Negeri
Telefon: +603 8887 4570
E-mel: [email protected]
Ahli keluarga juga boleh menyalurkan maklumat berkaitan secara terus kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu melalui [email protected] dan menyalinkan e-mel tersebut kepada Bilik Operasi Kementerian di [email protected].
Pada masa sama, warganegara Malaysia yang menetap atau berada di Nepal, khususnya di kawasan yang terjejas atau kawasan berhampiran, dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, mengutamakan keselamatan diri dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.
Warganegara Malaysia juga digesa untuk mendaftar dan mengemas kini maklumat perhubungan melalui portal e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my. –UTUSAN











