MELAKA: Bukan sekadar datang melihat deretan pokok dan tanaman hiasan, peluang menikmati suasana hijau serta menyaksikan kreativiti pihak berkuasa tempatan (PBT) pada Sambutan Hari Landskap Negara (HLN) 2026 di Stadium Hang Jebat, Krubong di sini turut mencetuskan keterujaan pengunjung untuk membawa keluarga.
Program itu mendapat respons menggalakkan apabila sekretariat penganjur memaklumkan, hampir 50,000 pengunjung direkodkan sepanjang Jumaat dan Sabtu, sekali gus mencerminkan minat masyarakat terhadap aktiviti landskap dan persekitaran hijau.
Pengunjung, Muhammad Izzuddin Muhammad, 33, berkata, pameran landskap yang berlangsung selama tiga hari sehingga hari ini merupakan pengalaman pertama buatnya dan cukup menarik untuk dikunjungi bersama dua anak.
Katanya, kepelbagaian landskap yang dipamerkan bukan sahaja memberikan pengalaman baharu kepada golongan dewasa, malah berjaya menarik perhatian kanak-kanak yang berpeluang melihat sendiri pelbagai jenis tanaman dan reka bentuk landskap.
“Ini kali pertama saya melihat pameran landskap seperti ini di Melaka. Memang menarik dan saya harap program seperti ini dapat diadakan lagi.
“Bawa anak-anak pun mereka suka berada di sini,” katanya ketika ditemui.
Keterujaan itu turut dikongsi warga Singapura, Salama Ishak, 65, yang hadir bersama tiga adik-beradiknya.
Menurutnya, dia teruja melihat pameran itu sebagai tarikan berbeza kerana mengetengahkan pelbagai pokok tempatan dan luar negara menerusi konsep serta susun atur yang kreatif.
“Sangat menarik. Kami memang selalu datang ke Melaka, tetapi kali ini terlanjur ada pameran, jadi kami tiga beradik datang bersama.
“Yang menarik ialah pokok-pokok tempatan dan pokok dari luar negara, selain setiap PBT mempunyai susun atur yang berbeza,” katanya. – UTUSAN










