UNHCR diarah henti sementara pendaftaran pelarian

UNHCR diarah henti sementara pendaftaran pelarian

LUKANISMAN AWANG SAUNI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) diarah menghentikan sementara semua proses pendaftaran pelarian bagi membolehkan penyusunan semula sistem pengurusan menerusi pelaksanaan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP).

Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, keputusan itu dibuat Jemaah Menteri bagi memastikan pengurusan dan pendaftaran pelarian di negara ini dapat dilaksanakan secara lebih sistematik di bawah kawal selia kerajaan.

“Melalui DPP, kerajaan dapat mengurus data dengan lebih tersusun termasuk bagi tujuan penyelarasan data, pengesahan identiti, pemantauan dan kawal selia tanpa bergantung kepada rekod mana-mana entiti asing,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Hussin Ismail berhubung langkah penyelesaian terhadap isu pelarian Rohingya yang tidak mempunyai dokumen identiti mahupun kerakyatan yang diiktiraf negara asal mereka, Myanmar.

Lukanisman berkata, pendaftaran di bawah DPP akan dilaksanakan menerusi proses saringan yang ketat dengan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa bagi memastikan hanya individu yang benar-benar layak didaftarkan, selain menghalang kemasukan pendatang tanpa izin.

Katanya, Malaysia juga terus menggunakan pendekatan multilateral terhadap Myanmar dan negara anggota ASEAN bagi memastikan isu pelarian Rohingya dapat ditangani dengan lebih serius.

“Pendekatan ini penting bagi mengelakkan Malaysia terus menanggung beban pengurusan pelarian memandangkan negara ini bukan penandatangan Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951, selain mengambil kira kesannya terhadap masyarakat tempatan,” katanya.

Beliau berkata, kira-kira 5,000 warga Myanmar yang kini ditempatkan di depot tahanan imigresen akan dihantar pulang menggunakan kapal tentera laut, tertakluk kepada proses penyelesaian susulan kesediaan negara itu menerima mereka kembali. UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN