JOHOR BAHRU: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menolak dakwaan kemungkinan berlaku percaturan dalaman melibatkan proses undian awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, esok.
Sebaliknya, beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, anggota polis serta tentera mempunyai pandangan masing-masing tentang hala tuju politik negara dan mereka mempunyai kebebasan membuat pilihan tanpa campur tangan mana-mana pihak.
“Dulu semasa BN menjadi Menteri Dalam Negeri, tetapi undi awal kita tak dapat sambutan, dahulu Menteri Pertahanan pun daripada BN tetapi berlainan pendapat.
“Jadi anggota tentera ataupun polis ini mereka mempunyai pandangan dan akan membuat keputusan mereka sendiri. Saya harap mereka lihat, dan mereka berada dalam Johor, pastikan mereka bersama-sama dengan Bangsa Johor yang lain untuk mengekalkan kerajaan BN pada pilihan raya pada kali ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Minum Petang dan Ramah Mesra Bersama Pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas, di sini hari ini. Turut hadir, calon BN bagi DUN Kempas, Datuk Ramlee Bohani.
Sehubungan itu, beliau berharap anggota tentera dan polis yang akan menunaikan tanggungjawab mengundi masing-masing esok memilih calon BN bagi mengekalkan kestabilan dan kemakmuran yang sedang dinikmati Johor ketika ini.
Sementara itu, mengulas berhubung isu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan di Johor, beliau yang juga Menteri Luar berkata, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi tidak menjanjikan jawatan tersebut kepada mana-mana calon BN yang tewas.
“Tetapi apa yang jelas dikatakan oleh Datuk Onn Hafiz adalah supaya calon bekerja kuat untuk menang. Jangan rasa selesa dan fikir jika kalah akan dilantik sebagai ADUN lantikan, bukan begitu,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menegaskan tiada keperluan kerajaan perpaduan ditubuhkan di negeri ini sekiranya BN berjaya memperoleh jumlah kerusi mencukupi untuk menubuhkan kerajaan.
“Kalau BN boleh tubuhkan kerajaan, saya rasa kerajaan ini akan diteruskan seperti penggal terdahulu. Dia kalau terpaksa melainkan kalau tak cukup kerusi, kalau dah cukup kerusi, saya rasa tidak ada sebab mengapa kita perlu adakan kerajaan campuran.-UTUSAN










