PASIR MAS: Seorang tukang masak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen di sini, hari ini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang merupakan rakan sekerjanya di sebuah premis menjual ayam goreng, dekat Tumpat, baru-baru ini.
Muhammad Fakhrullah Md. Nor, 21, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah. Mengikut kelima-lima pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun tujuh bulan ketika kejadian.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah premis menjual ayam goreng di Tumpat, kira-kira pukul 6.10 petang hingga 7 malam pada 5 dan 13 Jun selain 2, 3 dan 15 Julai 2026.
Kelima-lima pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan jaminan RM16,000 dengan seorang penjamin untuk kesemua pertuduhan dan menetapkan 26 Ogos ini untuk sebutan semula kes. Tertuduh tidak membayar ikat jamin yang ditetapkan mahkamah. – UTUSAN









