PETALING JAYA: Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) melancarkan kohort kedua “Climate Finance Innovation Lab” (CFIL) atau Makmal Inovasi Kewangan Iklim, sebuah platform diterajui industri di bawah Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3).
Langkah itu bertujuan untuk mempercepat pembangunan projek berkaitan iklim yang bersedia menerima pelaburan.
Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan BPMB, Zakiah Mat Esa berkata, CFIL mencerminkan komitmen bank itu dalam menyokong pembangunan projek berkaitan iklim dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi melalui kerjasama strategik.
“Platform ini bukan sahaja menyediakan akses kepada pembiayaan, malah menghimpunkan pihak pengawal selia, institusi kewangan, pelabur serta rakan ekosistem.
“Ia bagi meningkatkan kesiapsiagaan projek, memudah cara penyaluran pelaburan dan mempercepat pelaksanaan inisiatif iklim berimpak tinggi.
“Berlandaskan momentum kukuh daripada kohort pertama, kami berharap dapat terus mengembangkan ekosistem ini serta menyokong lebih banyak projek yang memberi impak bermakna kepada pembangunan ekonomi dan alam sekitar Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Platform yang ditadbir BPMB itu merupakan inisiatif JC3 yang dipengerusikan bersama oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Sejak dilantik sebagai pentadbir program pada Jun 2025, BPMB membangunkan CFIL sebagai platform nasional yang menghimpunkan pihak pengawal selia, institusi kewangan, pelabur, pemaju projek dan rakan ekosistem bagi mempercepat pembangunan projek berkaitan iklim yang bersedia menerima pelaburan.
Zakiah berkata, sepanjang tahun pertama pelaksanaannya, CFIL berjaya meletakkan asas kukuh kepada ekosistem pembiayaan iklim Malaysia menerusi pembangunan projek, penyelarasan ekosistem serta pemudahcaraan penyaluran pelaburan.
Beliau berkata, kohort pertama menerima penyertaan 23 projek berkaitan iklim dengan jumlah keperluan pelaburan kira-kira AS$850 juta (RM3.47 bilion), manakala 15 projek terpilih menyertai “CFIL Accelerator Programme”.
“Daripada jumlah itu, sebuah projek berjaya memperoleh pembiayaan geran antarabangsa, manakala tiga projek dipilih untuk membentangkan perkembangan masing-masing pada Sasana Symposium 2026.
“Bagi meningkatkan kesiapsiagaan dan kebolehbiayaan projek, BPMB turut melaksanakan “CFIL Accelerator Programme” dengan kerjasama Pusat Pembangunan dan Penyelidikan Usahawan (CEDAR) serta Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).
“Melalui pembangunan kapasiti secara berstruktur, bimbingan pakar dan penglibatan pelabur, program ini berjaya meningkatkan kesiapsiagaan komersial peserta di samping mengukuhkan jaringan antara pemilik projek, institusi pembiayaan dan rakan strategik ekosistem,” katanya.
Bersandarkan kejayaan kohort pertama, kohort kedua CFIL memperkenalkan kriteria kelayakan yang dipertingkatkan, proses pemilihan yang lebih tersusun serta kerjasama ekosistem yang lebih kukuh bagi meningkatkan kualiti projek dan kesiapsiagaan pelaburan.
Hasil proses penilaian, sebanyak 22 projek dipilih menyertai kohort kedua.
Ia merangkumi 11 projek dalam Peralihan Tenaga dan Inovasi Hijau, Ekonomi Kitaran dan Bandar Mampan (tujuh projek), Pertanian Mampan (dua projek) serta Penyelesaian Berasaskan Alam Semula Jadi dan Biodiversiti (dua projek) dengan jumlah keperluan pelaburan kira-kira AS$423 juta (RM1.73 bilion). –UTUSAN










