MBSB Bank salur RM200,000 bantu 500 anak nelayan sambung pengajian - Utusan Malaysia

MBSB Bank salur RM200,000 bantu 500 anak nelayan sambung pengajian

Ketua Kumpulan Penjenamaan & Komunikasi MBSB Norsiah Juriani (kiri), menyampaikan replika cek bernilai RM200,000 kepada Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, sempena Mesyuarat Agung Tahunan ke-41 Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MBSB Bank Berhad memperuntukkan bantuan zakat berjumlah RM200,000 kepada 500 pelajar daripada keluarga nelayan di seluruh negara bagi membantu mereka melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi, sekali gus memperkukuh usaha meningkatkan mobiliti sosial dan pembangunan modal insan dalam komuniti berkenaan.

Sumbangan yang disalurkan menerusi Yayasan Nelayan Malaysia (Yanem) di bawah Program Bantuan Pendidikan 2026 itu bertujuan meringankan beban kewangan pelajar untuk menampung kos awal pengajian seperti yuran pendaftaran, pengangkutan, penginapan serta keperluan asas pembelajaran.

Di bawah program itu, seramai 250 pelajar di peringkat sijil akan menerima bantuan sekali bayar sebanyak RM300 seorang, manakala 250 pelajar yang mengikuti pengajian di peringkat diploma atau ijazah sarjana muda akan menerima RM500 setiap seorang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Rafe Haneef berkata, bantuan berkenaan disasarkan kepada golongan yang memerlukan memandangkan kebanyakan keluarga nelayan bergantung kepada pendapatan harian yang tidak menentu, selain berdepan peningkatan kos sara hidup dan pendidikan.

Ujarnya, kajian melibatkan 220 nelayan pesisir pantai di Terengganu mendapati hanya satu peratus daripada komuniti itu berjaya melanjutkan pengajian ke kolej atau universiti, sekali gus menunjukkan jurang pendidikan yang masih perlu diberi perhatian.

“Golongan muda daripada komuniti nelayan mempunyai bakat dan potensi untuk berjaya. Sumbangan zakat ini akan membantu mereka menampung kos awal bagi memulakan atau meneruskan pengajian tinggi,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengerusi Yanem, Abdul Hamid Bahari berkata, bantuan berkenaan memberi kelegaan kepada pelajar yang sering berdepan kekangan kewangan sebaik menerima tawaran melanjutkan pengajian.

Menurutnya, kos pendaftaran, perjalanan dan penginapan sering menjadi cabaran utama kepada keluarga nelayan, sekali gus menimbulkan kebimbangan walaupun anak-anak mereka berjaya memperoleh tempat di institusi pengajian tinggi.

“Dengan sokongan MBSB Bank, pelajar dapat memulakan pengajian dengan lebih yakin dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembelajaran tanpa terlalu dibebani masalah kewangan,” katanya.

Program berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif zakat MBSB yang memberi tumpuan kepada tiga teras utama iaitu pendidikan, pemerkasaan ekonomi dan kebajikan komuniti.

Ia turut meneruskan komitmen bank dalam memperluaskan akses pendidikan kepada golongan memerlukan selepas sebelum ini menyalurkan bantuan zakat berjumlah RM295,200 kepada 984 pelajar asnaf di Universiti Putra Malaysia (UPM).

MBSB berkata, menerusi penyaluran zakat yang lebih bersasar, institusi kewangan itu berharap dapat membantu lebih ramai pelajar meneruskan pengajian tinggi, sekali gus membuka peluang ekonomi yang lebih baik kepada keluarga serta komuniti nelayan pada masa hadapan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN