PETALING JAYA: Pemaju hartanah gaya hidup bandar, Titijaya Land Berhad (Titijaya) terus memperluas jejak operasinya di Sabah bagi memanfaatkan pertumbuhan pesat negeri berkenaan, sekali gua mempelbagaikan lagi portfolio hartanahnya di luar Lembah Klang.
Kumpulan kini bersiap sedia untuk melancarkan siri projek baharu, termasuk cadangan pembangunan hab komersial terbaharu di Likas, Kota Kinabalu, selain merancakkan kemajuan projek penginapan pelajar khas berhampiran Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Pengarah Urusan Kumpulan Titijaya, Datuk Lim Poh Yit berkata, susulan sambutan menggalakkan terhadap projek The Shore dan Citadines Waterfront Kota Kinabalu sebelum ini, pihaknya kekal yakin dengan prospek pasaran jangka panjang di Sabah.
Katanya, langkah peluasan itu turut disokong oleh kejayaan syarikat memuktamadkan beberapa pemerolehan tanah strategik baru-baru ini bagi mengukuhkan lagi perancangan pembangunan masa hadapan.
“Sabah terus menerima manfaat daripada infrastruktur yang bertambah baik, peningkatan ketibaan pelancong, serta aktiviti perniagaan yang rancak, lantas mewujudkan permintaan kukuh untuk pembangunan kediaman, komersial dan hospitaliti berkualiti.
“Seiring dengan pengembangan ini, kami mahu menghasilkan pembangunan yang memberi nilai jangka panjang kepada pelanggan dan pelabur, di samping menyumbang kepada sosioekonomi Sabah melalui pewujudan peluang pekerjaan serta menyokong sektor pelancongan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Poh Yit, bagi segmen hospitaliti, hotel Citadines Waterfront Kota Kinabalu yang menawarkan 396 unit perkhidmatan telah menyumbang operasi tahun penuh pada Tahun Kewangan Berakhir 2025 dengan kadar penginapan yang stabil daripada pelancong perniagaan dan rekreasi.
Sementara itu, projek penginapan pelajar bersebelahan UMS dan Hospital UMS yang bakal dibina pula bertujuan menangani isu kekurangan perumahan penuntut di universiti berkenaan dengan menyediakan fasiliti yang selamat serta mudah diakses.
Strategi peluasan serantau itu juga selari dengan reputasi Titijaya yang baru-baru ini meraih anugerah “The Outstanding Developer Award in the Central Region of Malaysia” dan “Innovative Developer Award” di ASEAN Property Developer Award 2025/2026 pada 19 Jun lalu.
Pengiktirafan tersebut menambah portfolio anugerah Kumpulan termasuk dalam kategori Pembangunan Bercampur (Mixed-Use Development) di Asia Pacific Property Awards 2024–2025, The Edge Top 30 Property Developers Award 2025, serta StarProperty Awards 2026.
Sehingga kini, Titijaya telah membina rekod prestasi yang kukuh dalam segmen kediaman bertingkat tinggi, hab komersial, SoHo dan perindustrian dengan nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan mencecah RM5.4 bilion yang berjaya disiapkan. – UTUSAN










