Tidak perlu dipujuk berlakon, saya sendiri cakap 'on' - Amy Mastura - Utusan Malaysia

Tidak perlu dipujuk berlakon, saya sendiri cakap ‘on’ – Amy Mastura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Amy Mastura, mengakui tidak pernah memilih pengarah atau produksi sebelum bersetuju membintangi sesebuah naskhah kerana lakonan sememangnya menjadi minatnya sejak dahulu.

Menurut Amy atau Amy Mastura Suhaimi, 55, dia sentiasa terbuka menerima sebarang tawaran selagi tidak bertembung dengan komitmen kerja yang telah dijadualkan.

“Saya tidak pernah letakkan apa-apa syarat. Saya okey sahaja bekerja dengan sesiapa, malah kadang-kadang saya pun tidak bertanya watak yang akan diberikan.

“Saya fikir kalau sesebuah produksi memanggil saya, maknanya mereka yakin saya mampu membawa watak tersebut.

“Tak perlu pujuk saya untuk berlakon drama sebab Saya memang sentiasa ‘on’. Saya hanya akan menolak tawaran sekiranya ia bercanggah dengan jadual sedia ada.

“Kalau ada peluang, saya sendiri yang akan suakan diri, ‘take me, take me’,” katanya sambil ketawa.

Amy berkata demikian ketika ditemui pada sesi bersama media bagi drama bersiri Ate Kome I Love You, baru-baru ini.

Dalam perkembangan sama, juara Asia Bagus 1993 di Tokyo, Jepun itu berkata, banyak perubahan berlaku dalam industri lakonan sepanjang lebih tiga dekad penglibatannya, terutama dari segi teknologi dan suasana di lokasi penggambaran.

Katanya, selain kehadiran ramai pelakon baharu, kemajuan teknologi turut memudahkan proses penggambaran berbanding ketika awal pembabitannya dalam bidang lakonan kira-kira 32 tahun lalu.

“Pelakon muda di set semuanya ceria, sama seperti saya ketika mula-mula berlakon dahulu.

“Cuma bezanya, cara kerja sekarang jauh lebih mudah kerana teknologi semakin maju. Kamera lebih ringan dan bersaiz kecil.

“Dulu kalau terlupa dialog atau berlaku kesilapan, kami terpaksa mengulang babak dari awal kerana menggunakan pita rakaman yang mahal dan tidak boleh dibazirkan.

“Sekarang kalau tersalah, boleh padam dan rakam semula. Semuanya jauh lebih mudah berbanding dahulu,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN