TAMPIN: Kerajaan belum pernah mengadakan sebarang perbincangan mengenai kemungkinan mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) lebih awal
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebarang keputusan mengenai pembubaran Parlimen bergantung kepada pertimbangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mengambil kira pandangan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan serta mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Saya belum pernah mengadakan perbincangan dengan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana dalam Kerajaan Perpaduan terdapat 18 parti dengan sekurang-kurangnya lima gabungan.
“Pada hemat saya, jika geopolitik berubah, tentunya tarikh tamat sesuatu tempoh penggal Parlimen itu akan diambil kira oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri selaku Ketua Majlis kepada Parlimen Malaysia untuk mengadakan rundingan dengan kami.
“Walau bagaimanapun, ia tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong sama ada pembubaran Parlimen boleh dilakukan lebih awal atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Hari Keluarga Zon Selatan Angkatan Tentera Malaysia di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, di sini, hari ini.
Semalam, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berpandangan bahawa PRU-16 berkemungkinan diadakan lebih awal sekiranya Perdana Menteri melihat keadaan semasa sesuai untuk pembubaran Parlimen.
Ahli Parlimen Rembau itu turut menyatakan kesediaannya untuk mempertahankan kerusi berkenaan pada pilihan raya akan datang.
Mengulas sama ada keadaan semasa sesuai untuk PRU diadakan lebih awal, beliau yang juga Pengerusi BN itu berkata, perkara tersebut wajar dijawab oleh Perdana Menteri.
“Itu tanya pada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri,” katanya ringkas.
Sementara itu, Ahmad Zahid menafikan dakwaan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang menasihatinya supaya tidak terlalu angkuh ketika mengeluarkan kenyataan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Beliau berkata, kenyataannya tiada unsur keangkuhan, sebaliknya ia merupakan lumrah bagi mana-mana parti politik atau gabungan yang tidak mentadbir sesebuah negeri untuk menawarkan diri mengambil alih pentadbiran melalui pilihan raya.
“Tidak ada keangkuhan. Kalau kita menyarankan supaya tukar kerajaan, mana-mana parti atau gabungan yang memerintah mahu dikekalkan, manakala yang tidak memerintah mahu mengambil alih.
“Itu tidak angkuh. Jawablah dengan cara yang baik, berhemah dan jangan menyentuh peribadi. Don’t ever touch below the belt. Itu sahaja sebagai panduan,” katanya. – UTUSAN










