Tiada pengumuman projek semasa PRN

Tiada pengumuman projek semasa PRN

ANWAR IBRAHIM ketika sesi soal jawab sidang Dewan Rak­yat, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas tarikh penamaan calon pilihan raya, semua pengumuman projek atau dasar baharu tidak lagi dibenarkan berdasarkan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Perdana Menteri menegaskan, larangan itu bagi memastikan pro­ses pilihan raya berjalan adil, telus dan bebas dipenga­ruhi politik.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penggunaan jentera kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tujuan berkempen juga tidak dibenarkan bagi mengelakkan salah guna kuasa sepanjang tem­poh pilihan raya.

Bagaimanapun katanya, peraturan itu hanya terpakai untuk projek baharu dan projek sedia ada boleh diteruskan.

“Sebaik sahaja tarikh pe­na­maan calon diumumkan, kempen boleh diteruskan tetapi ti­­dak ada penggunaan atau pe­ngumuman projek atau dasar baharu negeri.

“Kalau ikut peraturan memang boleh diteruskan pro­jek sedia ada,” katanya ketika sesi soal jawab sidang Dewan Rak­yat, semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) berhubung larangan pengumuman peruntukan atau projek kerajaan selepas pe­namaan calon masih terpa­kai dan mekanisme penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Me­laka dan Negeri Sembilan.

Terdahulu, Shahidan membangkitkan isu pengumuman beberapa peruntukan projek oleh Anwar dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming di Johor sebelum hari penamaan calon.

Anwar berkata, perkara tersebut sentiasa dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri sekiranya terdapat keterlanjuran dan pelanggaran etika sepanjang tempoh berkempen.

Menyentuh dakwaan mengenai pengumuman projek oleh Kor Ming di Johor itu, beliau berkata, semakan dengan SPR mendapati projek berkenaan diluluskan menerusi Belanjawan 2025 dan bukannya projek baharu.

“Saya semak dan dia umumkan projek yang telah diluluskan. Jadi, kalau ikut daripada segi prinsip peraturan pilihan raya itu dibolehkan.

“Ada projek diluluskan dalam belanjawan tahun lalu, kemudian kita tekankan dan ulang, itu tidak ada ke­salahan dari peraturan pilihan raya. Saya semak daripada segi undang-undang dan juga pada SPR tentang Akta Kesalahan Pilihan Raya,” katanya.

Sementara itu katanya, agihan peruntukan kerajaan Per­sekutuan kepada negeri di­buat berdasarkan keperluan pembangunan dan kebajikan rakyat berdasarkan ke­perluan mendesak seper­ti pembasmian kemiskinan, penaiktarafan infrastruktur, pembi­naan sekolah serta penye­diaan kemudahan asas khususnya ke­pada golo­ngan miskin dan masyarakat terpinggir.

Anwar berkata, antara ne­geri menerima peruntukan tertinggi berbanding sebelum ini ialah Kedah, Terengganu dan Kelantan.

“Saya berikan beberapa tumpuan kepada negeri-negeri yang memerlukan perhatian khusus dan projek-projek se­perti tebatan banjir yang tidak boleh dilengahkan, naik taraf lebuh raya atau Jalan Pan Borneo di Sabah dan Sarawak serta beberapa projek penting se­perti saliran baharu dan persimpangan.

“Untuk Kelantan, hasil purata 2023 hingga 2025 adalah RM946 juta manakala per­belanjaan kerajaan Persekutuan bagi tempoh sama ialah RM8.9 bilion. Untuk Kedah purata hasil yang diperoleh kerajaan Persekutuan ialah RM3.7 bi­lion, manakala perbelanjaan berjumlah RM9.5 bilion.

“Terengganu pula, hasil diterima kerajaan Persekutuan ialah RM1.2 bilion dan ditambah RM1.2 bilion lagi daripada hasil petroleum, menjadikan jumlah keseluruhan RM2.4 bi­lion, namun perbelanjaan Per­sekutuan di negeri itu mence­cah RM7.8 bilion.

“Perlis menyumbang hasil RM419 juta tetapi menerima perbelanjaan RM2.2 bilion manakala Johor menyumbang hasil sekitar RM14 bilion menerima peruntukan RM16 bi­lion. Semua negeri mendapat pertambahan peruntukan,” ka­tanya menjawab soalan Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman).

Doris Sophia meminta kerajaan menyatakan penjelasan berhubung dakwaan peruntukan kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri tidak adil dan tidak mencukupi berban­ding hasil dikutip dan usaha-usaha diambil kerajaan dalam menambah baik penyaluran peruntukan supaya memenuhi keperluan rakyat di setiap ne­geri.

Anwar berkata, dakwaan kononnya terdapat negeri dianaktirikan atau dipinggirkan dalam agihan peruntukan Kerajaan Persekutuan, tidak berasas kerana kerajaan membuat keputusan berdasarkan keperluan pembangunan dan kebajikan rakyat.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) sama ada kerajaan Sarawak layak menerima bayaran interim khas seperti dinikmati kerajaan Sabah, Anwar berkata, Kerajaan Sarawak layak dan selari persefahaman dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Bayaran interim khas itu akan diluluskan secepat mungkin setelah rundingan diadakan di antara ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Setia­usaha Kerajaan Negeri Sarawak disusuli Jawatankuasa Teknikal MA63 dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN