Tiada apa hendak disorok UMNO berkaitan RCI Tabung Haji

Tiada apa hendak disorok UMNO berkaitan RCI Tabung Haji

ISMAIL Sabri Yaakob ditemui pemberita selepas program Sembang Santai Bersama Datuk Asna di Pantai dekat Seremban hari ini.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tidak ada apa-apa yang hendak disorokkan oleh UMNO berkaitan siasatan dan dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH).

Malah Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, UMNO adalah pihak pertama yang meminta supaya suruhanjaya itu ditubuhkan selepas berhadapan siri kritikan dan dakwaan salah laku berlaku dalam dana umat Islam itu.

“Isu ini telah dibawa oleh UMNO dan MT (Majlis Tertinggi) yang luluskan supaya saya bawa perkara ini ke kabinet untuk kerajaan tubuhkan RCI.

“Tiada ada apa yang UMNO hendak sorokkan dalam isu ini. Bagi saya, kalau siasatan sudah selesai boleh kita bentangkan sebab rakyat hendak tahu apa sebenarnya yang berlaku,” katanya kepada pemberita selepas program Sembang Santai Bersama Datuk Asna di Pantai dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng, Datuk Mohd. Asna Amin.

Ismail Sabri memberitahu, beliau tidak tahu dapatan yang dibuat oleh RCI tersebut dan kabinet tidak pernah diberikan taklimat sehingga sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada 2022.

“Saya tidak tahu kerana tidak lagi menjadi Perdana Menteri selepas pilihan raya tersebut.

“Tetapi saya difahamkan siasatan sudah pun selesai tetapi belum ada pendakwaan dibuat terhadap sesiapa.

“Terpulang kepada kerajaan hari ini untuk membuat keputusan berkaitan RCI TH,” ujarnya.

Jelasnya, RCI itu ditubuhkan ketika TH berhadapan serangan berikutan beberapa isu seperti penjualan aset termasuk ladang yang tidak sepatutnya berlaku.

“Malah (Datuk Seri) Rafizi Ramli turut meminta para pendeposit mengeluarkan simpanan mereka di TH ekoran isu-isu dalam dana berkenaan,” katanya.

Tegasnya, RCI itu ditubuhkan bukan bertujuan hendak menganiya sesiapa tetapi mencari kebenaran.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN