NARATHIWAT (THAILAND): Rakyat Malaysia yang memandu di Thailand masih diwajibkan membawa lesen memandu fizikal kerana negara itu belum mengiktiraf penggunaan lesen memandu digital bagi tujuan pemeriksaan dan penguatkuasaan.
Jurucakap Polis Trafik Wilayah Narathiwat berkata, mengikut Seksyen 42 Akta Kenderaan Bermotor B.E. 2522, pemegang lesen memandu dikeluarkan oleh negara diiktiraf kerajaan Thailand dibenarkan memandu di negara itu mengikut kategori yang dinyatakan pada lesen berkenaan.
Katanya, pengiktirafan itu tertakluk kepada syarat pematuhan terhadap perjanjian atau konvensyen yang berkuat kuasa antara Thailand dengan negara terbabit.
Menurutnya, bagi rakyat Malaysia, pembuktian kelayakan memandu boleh dilakukan melalui dua kaedah namun kedua-duanya masih memerlukan lesen fizikal.
“Pertama, pemandu boleh mengemukakan lesen memandu domestik Malaysia dalam bentuk kad fizikal berdasarkan Perjanjian ASEAN mengenai Pengiktirafan Lesen Memandu Domestik yang dikeluarkan oleh negara-negara ASEAN.
“Jika lesen itu tidak mengandungi maklumat dalam bahasa Inggeris, pemandu juga perlu mengemukakan terjemahan bahasa Inggeris yang diperakui,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas insiden seorang rakyat Malaysia yang disaman Polis Trafik Hat Yai selepas gagal menunjukkan lesen memandu fizikal ketika pemeriksaan jalan raya, jurucakap itu berkata, wanita tersebut didakwa melakukan kesalahan lalu lintas pada 16 Jun lalu sebelum saman dikeluarkan pada 19 Jun lepas.
Katanya, Perjanjian ASEAN itu tidak meliputi pemegang lesen memandu sementara atau lesen memandu pelajar yang menggunakan huruf L dan Percubaan (P).
“Berdasarkan Konvensyen Lalu Lintas Jalan Raya Geneva 1949, pemandu juga boleh menggunakan Permit Memandu Antarabangsa ketika memandu di Thailand, namun permit itu mesti disahkan bersama lesen memandu domestik.
“Negara anggota ASEAN kini sedang membincangkan garis panduan dan piawaian bagi pengiktirafan bersama lesen memandu digital bagi memastikan kemudahan kepada pengguna serta pematuhan terhadap piawaian keselamatan moden,” katanya.
Sehubungan itu, jurucakap berkenaan mengingatkan rakyat Malaysia supaya membawa bersama lesen memandu fizikal atau Permit Memandu Antarabangsa setiap kali memandu di Thailand sehingga pengiktirafan rasmi terhadap lesen digital dipersetujui. – UTUSAN










