KOTA BHARU: Ramai dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya yang baru berkunjung ke Thailand menggunakan kenderaan persendirian, tidak menyedari pihak berkuasa negara itu mewajibkan penggunaan lesen memandu fizikal.
Ketua Kelab Pemotoran Kelantan, Mohd. Amin Mohd. Nawawi berkata, peraturan tersebut bukanlah sesuatu yang baharu kerana ia sudah lama berkuat kuasa.
“Kekeliruan timbul apabila terdapat pengguna menyangka lesen memandu digital yang digunakan di Malaysia turut diterima di Thailand. Peraturan ini sudah lama berkuat kuasa, cuma mungkin ramai dalam kalangan pengguna baharu yang tidak mengetahuinya.
“Justeru itu, beringatlah jika mahu memandu di Thailand. Sebaik-baiknya bawa bersama lesen memandu fizikal sama ada yang sudah tamat tempoh sebagai rujukan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan, rakyat Malaysia yang memandu di Thailand masih diwajibkan membawa lesen memandu fizikal kerana negara itu belum mengiktiraf penggunaan lesen memandu digital bagi tujuan pemeriksaan dan penguatkuasaan.
Jurucakap Polis Trafik Wilayah Narathiwat berkata, mengikut Seksyen 42 Akta Kenderaan Bermotor B.E. 2522, pemegang lesen memandu dikeluarkan oleh negara diiktiraf kerajaan Thailand dibenarkan memandu di negara itu mengikut kategori yang dinyatakan pada lesen berkenaan.
Katanya, pengiktirafan itu tertakluk kepada syarat pematuhan terhadap perjanjian atau konvensyen yang berkuat kuasa antara Thailand dengan negara terbabit.
Mohd. Amin berkata, memandu melebihi had lalu, salah masuk lorong dan parkir kenderaan di tempat tidak sepatutnya menjadi antara kesalahan yang sering dilakukan oleh rakyat Malaysia.
Katanya, kesalahan tersebut perlu dielakkan bagi memastikan tidak berdepan tindakan daripada pihak berkuasa Thailand.
Sementara itu, seorang penduduk yang sering berkunjung ke Thailand, Rashli Ab. Rahman berkata, dia terpaksa mencetak seterusnya melaminasi lesen digital untuk dijadikan sebagai bukti ketika memasuki negara berkenaan.
“Jadi saya harap Kerajaan Malaysia dapat mewujudkan semula lesen fizikal. Bila ada lesen fizikal kita menjadi lebih yakin selain sentiasa membuat semakan tempoh ia tamat,” ujarnya. – UTUSAN










