TH rugi RM10 bilion akibat pelanggaran peraturan, pelaburan sejak 2014

TH rugi RM10 bilion akibat pelanggaran peraturan, pelaburan sejak 2014

ANWAR Ibrahim dan calon PH di DUN Chennah hadir pada program Majlis Minum Petang Bersama PMX di DUN Chennah Simpang Durian, Jelebu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Lembaga Tabung Haji (TH) mengalami kerugian RM10 bilion akibat kegagalan mematuhi peraturan serta kesilapan dalam pelaburan yang berlaku sejak 2014.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dimaklumkan kepada Jemaah Menteri menerusi taklimat oleh Pengerusi TH, Tan Sri Rashid Hussain yang pernah menganggotai Suruhanjaya Diraja (RCI).

“Tadi Pengerusi TH yang pernah jadi ahli Suruhanjaya Diraja. Beluau beri taklimat kepada Jemaah Menteri bahawa TH rugi RM10 bilion sebab tidak ikut peraturan, sebab pelaburan salah, sebab banyak masalah. Berlaku sejak 2014.

“Pada tahun 2014, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) menulis kepada Tabung Haji ada pelanggaran, tetapi tidak dipedulikan, akhirnya rugi,” katanya ketika berucap pada Majlis Minum Petang Bersama PMX di DUN Chennah Simpang Durian di sini hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, tindakan terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kerugian, penipuan atau salah guna kuasa akan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk disiasat.

Katanya, siasatan akan dijalankan oleh agensi berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan pihak berkaitan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).

“Orang yang bertanggungjawab menyebabkan kerugian dan penipuan, salah guna kuasa akan disiasat oleh PDRM, SPRM, AMLA, Bank Negara. Semua akan disiasat.

“Kalau ada bukti, dakwa, biar masuk mahkamah dan biar masuk penjara kalau salah. Itu aturan negara ini,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan tidak mahu membuat tuduhan terhadap mana-mana pihak dan menyerahkan sepenuhnya proses siasatan kepada pihak berkuasa.

“Saya bukan nak cakap pasal Tabung Haji. Saya nak cakap soal negara kita. Tapi yang salah kita.

“Kita ada kuasa, buatlah yang terbaik. Kalau nak tolong rakyat, tolong waktu ada kuasa. Masa ada kuasa buatlah yang terbaik,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN