KUALA LUMPUR: Pempengaruh, Ubai Amir, 28, kecewa dengan sikap segelintir netizen yang memaki hamun dan mengugutnya dalam media sosial.
Menurut Ubai atau nama sebenarnya, Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli, tidak perlu untuk menakut-nakutkan seseorang dengan mengeluarkan kata-kata kesat di platform tersebut.
“Maafkan saya, sedikit teguran. Saya rasa tak perlu sampai mesej maki hamun, bagi kata-kata kesat, ugut itu ini,” katanya dalam Thread.
Dalam masa yang sama suami kepada penyanyi Shila Amzah itu turut kecewa dengan lambakan akaun palsu yang terdapat di media sosial.
Malah katanya, pemilik akaun-akaun palsu berkenaan bersikap bacul apabila diajak berjumpa untuk menyelesaikan masalah.
“Kebanyakan yang saya mesej ajak jumpa, semua tak balas (mesej). Seorang sahaja yang balas, itu pun tak nak jumpa.
“Semua bukan akaun sebenar, tahu-tahu private dan hilang. Maka dengan itu, marilah kita teruskan kehidupan,” katanya lagi. – UTUSAN










