GEORGE TOWN: Kerajaan perlu melaksanakan kajian semula terhadap sukatan mata pelajaran Sejarah secara menyeluruh bagi memastikan kandungannya lebih tepat, seimbang dan berasaskan fakta sahih demi melahirkan generasi yang memahami sejarah negara secara menyeluruh.
Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, semakan itu juga penting supaya pelbagai aspek sejarah negara termasuk sumbangan tokoh, negeri, masyarakat pelbagai kaum, warisan budaya serta perjuangan rakyat diberikan liputan yang adil.
“Sejarah bukan sekadar catatan peristiwa lampau, tetapi menjadi asas pembinaan jati diri bangsa, pembentukan identiti negara dan panduan membina masa depan.
“Oleh itu, kandungan sukatan mata pelajaran Sejarah mestilah sentiasa relevan, tepat, seimbang dan berdasarkan fakta yang sahih,” katanya berucap pada Forum Dari Sejarah Kepada Dakyah di sini, hari ini.
Menurut beliau, kajian semula perlu melibatkan ahli sejarah, ahli akademik, guru, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan bagi memastikan setiap kandungan dinilai secara profesional serta berlandaskan penyelidikan.
“Sejarah yang lengkap akan melahirkan generasi yang berfikiran kritis, menghargai perpaduan dan mempunyai semangat patriotisme yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata, terdapat beberapa fakta sejarah negara yang didakwa tidak ditulis dengan tepat atau tidak diberi penekanan sehingga generasi muda tidak mengetahui fakta sebenar.
Katanya, antara perkara yang wajar diberi perhatian ialah sejarah Pulau Pinang sebelum kedatangan Kapten Francis Light pada 1786 kerana negeri itu telah berada di bawah Kesultanan Kedah dan didiami masyarakat tempatan yang menjalankan kegiatan penangkapan ikan, pertanian serta perdagangan.
Beliau berkata, pembinaan Masjid Jamek Batu Uban sekitar tahun 1734 turut membuktikan kewujudan komuniti Melayu-Islam di Pulau Pinang lebih 50 tahun sebelum pentadbiran British bermula dan fakta itu sewajarnya dimasukkan dalam sukatan mata pelajaran Sejarah.
Mohd. Yussof turut mencadangkan supaya sejarah Gerakan Merdeka Pulau Pinang atau Jawatankuasa Pengasingan Pulau Pinang serta usaha UMNO Pulau Pinang mempertahankan kedudukan negeri itu dalam Persekutuan Tanah Melayu dimuatkan dalam buku teks.
Selain itu, katanya, topik berkaitan Amanat Raja-Raja Melayu dan Perjanjian Kontrak Sosial juga wajar diberikan penekanan bagi membantu rakyat memahami asas pembentukan negara.-UTUSAN










