SEREMBAN: Tiada mana-mana gabungan politik dijangka mampu memperoleh kemenangan besar melebihi dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan esok.
Ini bermakna, kerajaan negeri selepas 1 Ogos ini berkemungkinan dibentuk hanya dengan majoriti mudah iaitu anggaran 19 hingga 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Situasi itu menunjukkan persaingan sengit antara parti-parti bertanding dengan keputusan PRN bakal ditentukan oleh beberapa kerusi marginal yang menjadi tumpuan.
Bukan sahaja Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), malah Barisan Nasional (BN) yang mempunyai kelebihan dari segi momentum kemenangan di Johor juga enggan ‘mendabik dada’ dengan mendakwa mampu mencipta kejutan di Negeri Sembilan.
Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengakui, adalah sukar untuk mana-mana gabungan mencapai kemenangan dua pertiga.
Bagaimanapun, katanya, situasi boleh berubah khususnya di kerusi-kerusi marginal termasuk yang dimenangi oleh BN dengan majoriti tipis dalam pilihan raya lalu.
“Tidak saya nafikan, untuk dapat dua pertiga oleh mana-mana parti amat sukar hari ini, ramalan itu mungkin tepat. Tetapi kita tak boleh nafikan sebahagian pengundi masih lagi berada di luar, mereka boleh buat perubahan di kerusi-kerusi marginal termasuk yang dimenangi oleh BN.
“Saya yakin kerusi-kerusi marginal ini boleh berubah bila-bila masa, hari mengundi pun ia boleh berubah. Bagi saya lebih mudah biarlah kami menang, selesa sikit daripada apa yang ada sekarang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Ketika PRN Negeri Sembilan 2023, PH menang di 17 kerusi dan membentuk kerajaan negeri bersama BN yang memenangi 14 kerusi.
Sebanyak 19 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah daripada keseluruhan 36 kerusi DUN di Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, BN mendakwa mampu memperoleh kemenangan selesa, namun enggan mendedahkan sasaran jumlah kerusi.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, keyakinan itu berdasarkan peningkatan sokongan yang diterima hasil lawatan ke beberapa kawasan sepanjang tempoh berkempen.
“Saya dapati penambahan sokongan dalam kalangan rakyat di seluruh negeri ini menunjukkan peningkatan yang sangat baik dan luar biasa.
“Saya harapkan sokongan mereka ini dapat diterjemahkan pada 1 Ogos nanti, insya-Allah,” katanya ketika ditemui selepas Jelajah Mesra Rumah Pengundi India di Taman Simpang Pertang di Jelebu, semalam.
Sementara itu, Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker berkata, peluang tetap terbuka untuk parti itu menang dan membentuk kerajaan negeri.
“Ya, masih dalam perlawanan,” katanya ketika dihubungi.
Mengulas secara keseluruhan, Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd. Muis berkata, pentas PRN Negeri Sembilan dilihat masih terbuka dengan persaingan lebih kompetitif berbanding PRN Johor.
Katanya, tiada mana-mana gabungan mempunyai kelebihan dominan untuk dianggap mampu membentuk kerajaan negeri dengan selesa.
Ujarnya, komposisi demografi serta corak persaingan di Negeri Sembilan menjadikan keputusan pilihan raya sukar diramal.
“Walaupun BN membawa momentum kemenangan besar di Johor dan kerjasama taktikal dengan Perikatan Nasional (PN) berpotensi mengukuhkan sokongan Melayu, Negeri Sembilan mempunyai komposisi demografi dan corak persaingan yang jauh lebih kompleks,” katanya. – UTUSAN










