PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon, Sharifah Zarina, 44, memaklumkan akan mempertimbangkan tawaran berlakon sekiranya aktiviti itu tidak mengganggu masanya untuk hal peribadi atau bersama keluarga.
Kata Zarina, hal itu disebabkan dia kini tidak lagi mengejar tawaran tersebut dan lebih menumpukan kepada persiapan akhiratnya.
“Kadang, siang yang akan memanfaatkan masa pergi ke kelas agama. Jadi bila ada penggambaran seperti ini, aktiviti itu terpaksa dihentikan seketika.
“Jadi, bergantung kepada kepadatan jadual. Jika mengizinkan, Insya-Allah saya terima. Jika terlalu padat, saya lepaskan.
“Saya sudah berusia, rasanya tidak sesuai untuk saya terlalu aktif dalam dunia lakonan. Lagi pula saya tidak mempunyai pengurus atau pembantu, semua sendiri. saya lakukan sendiri,” katanya ketika lawatan media ke set penggambaran drama Wish List baru-baru ini.
Sharifah bagaimanapun tidak menafikan keseronokkan berada di set penggambaran kerana hubungan sesama pelakon yang rapat.
“kita akan jumpa kawan baharu, rapat seperti keluarga. Situasi ini berbeza bila menyanyi kerana hubungan sesama artis tak rapat sebab selesai membuat persembahan kita terus beredar pulang. Tapi berlainan dengan lakonan.
“Sekarang baru saya faham sebab pelakon rapat satu sama lain. Pelakon berada di set penggambaran cukup lama sampaikan hubungan menjadi akrab dab terasa sedih apabila berpisah,” kongsinya.










