RAWANG: Kira-kira 200 orang terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan Allahyarham Ahmad Shah Ahmad Ros, hadir di Masjid Bandar Tasik Puteri di sini malam ini bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham yang maut akibat ditikam dalam satu insiden di Korea Selatan.
Kesemua mereka menunggu diperkarangan masjid sejak pukul 6 petang tadi.
Jenazah Allahyarham tiba di masjid pada pukul 8.52 malam dengan menaiki van jenazah bersama ibu bapa serta adik perempuannya bagi urusan solat jenazah.
Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa pulang ke tanah air dengan penerbangan yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon pada pukul 11 pagi waktu tempatan. – UTUSAN








