PETALING JAYA: Jenazah Allahyarham Ahmad Shah Ahmad Ros yang maut akibat ditikam dalam satu insiden di Korea Selatan, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 4 petang ini.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Pemuda UMNO Selayang, Shah Zanuriman Nuar Paras Khan, yang menyelaraskan pergerakan jenazah yang tiba di negara ini.
Beliau berkata, jenazah Ahmad Shah hanya menunggu untuk dikeluarkan sebelum dibawa pulang dan disempurnakan.
“Sebentar tadi kapal terbang baru sahaja mendarat dan kita juga sedang menunggu waris yang akan tiba (menuntut jenazah).
“Kita berharap proses membawa keluar jenazah berjalan lancar dengan hendak-Nya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, keluarga memaklumkan jenazah Ahmad Shah akan tiba di Masjid Bandar Tasik Puteri, Rawang, pada pukul 7.30 malam ini sebelum dikebumikan.
Ahmad Shah, seorang pekerja sektor perkilangan, disahkan meninggal dunia di sebuah hospital di daerah Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara, Korea Selatan, selepas cedera parah pada bahagian perut akibat ditikam dengan pisau ketika meleraikan satu pergaduhan.
Beliau yang menetap di sana sejak 2019, datang ke lokasi kejadian pergaduhan itu bersama isterinya dari kediaman mereka selepas rakannya yang juga rakyat Malaysia menghubunginya bagi mendapatkan pertolongan. – UTUSAN







