Steel Hawk ambil alih saham majoriti Sparksfly bernilai RM1.1 juta - Utusan Malaysia

Steel Hawk ambil alih saham majoriti Sparksfly bernilai RM1.1 juta

GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Steel Hawk Bhd. (Steel Hawk) memeterai perjanjian langganan bersyarat untuk memperoleh pegangan ekuiti sebanyak 55 peratus dalam Sparksfly Sdn. Bhd. (Sparksfly) pada nilai tunai RM1.1 juta.

Penyedia perkhidmatan sokongan kejuruteraan yang terbabit terutamanya dalam penyediaan perkhidmatan sokongan darat dan luar pesisir bagi industri minyak dan gas (O&G) itu berkata, perjanjian tersebut dilaksanakan melalui anak syarikat milik penuhnya, Steel Hawk Manufacturing Sdn. Bhd. (SHMSB),

Pemerolehan itu akan dilaksanakan menerusi langganan SHMSB terhadap 611,112 saham biasa baharu dalam Sparksfly, yang mewakili kira-kira 55 peratus daripada modal saham terbitan syarikat yang diperbesarkan.

Pada masa sama, SHMSB, Sparksfly dan para pengasasnya turut memeterai perjanjian pemegang saham bagi mengawal selia pengurusan dan operasi Sparksfly selepas urus niaga itu dimuktamadkan.

Selepas selesai, Steel Hawk berkata, Sparksfly akan menjadi anak syarikat tidak langsung milik 55 peratus Steel Hawk.

Pengarah Eksekutif Steel Hawk, Datuk Sharman K. Michael berkata, pemerolehan itu merupakan satu pencapaian penting dalam strategi pertumbuhan jangka panjang syarikat.

“Walaupun kami kekal yakin terhadap asas kukuh industri minyak dan gas Malaysia, kami mengiktiraf kepentingan untuk meluaskan pangkalan pelanggan serta berkembang ke segmen kejuruteraan yang saling melengkapi bagi membina daya tahan perniagaan yang lebih kukuh.

“Sparksfly membawa bersama pasukan yang berpengalaman, keupayaan kejuruteraan yang mantap serta hubungan pelanggan yang kukuh dan melengkapi kekuatan sedia ada kami.

“Bersama-sama, kami akan dapat memburu projek yang lebih besar dan pelbagai, khususnya dalam kerja luar pesisir, subsea dan fabrikasi, di samping mengukuhkan kehadiran kami di Malaysia Selatan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kerjasama itu juga menyokong strategi berterusan Steel Hawk untuk mempelbagaikan sumber pendapatan dan mengurangkan kebergantungan kepada pelanggan tertentu dengan meluaskan capaian kepada pelbagai industri yang memerlukan kepakaran dalam kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).

“Kami percaya gabungan kepakaran kami dengan kedudukan pasaran Sparksfly akan mewujudkan nilai mampan kepada pemegang saham dalam jangka panjang,” ujarnua.

Tambahnya, cadangan langganan saham itu akan dibiayai menggunakan dana dalaman dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan serta prospek jangka panjang kumpulan selepas urus niaga dimuktamadkan, tertakluk kepada tiada sebarang keadaan luar jangka.

Ditubuhkan pada 2018 dan beribu pejabat di Senai, Johor, Sparksfly mengkhusus dalam perkhidmatan kejuruteraan, kerja fabrikasi dan perkhidmatan sokongan O&G yang meliputi segmen luar pesisir, dasar laut (subsea) dan saluran paip.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, syarikat itu mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM283,138 dengan aset bersih kira-kira RM1.48 juta. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN