Status anak tempatan kelebihan Suhaimizan pertahan DUN Gemencheh

Status anak tempatan kelebihan Suhaimizan pertahan DUN Gemencheh

SUHAIMIZAN Bizar ketika menyantuni pengundi DUN Gemencheh baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Status sebagai anak jati Gemencheh diyakini menjadi antara kelebihan buat penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemencheh, Suhaimizan Bizar bagi mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Calon Barisan Nasional (BN) itu berkata, sepanjang tempoh berkempen, beliau juga melihat kerjasama jentera parti itu dan Perikatan Nasional (PN) berada pada tahap yang baik sekali gus memberi keyakinan terhadap peluang kemenangan gabungan itu.

“Alhamdulillah, sepanjang tempoh berkempen kita nampak kerjasama antara BN dan PH amat baik, begitu juga jentera yang bekerja bersungguh-sungguh.

“Kelebihan saya ialah saya merupakan anak tempatan. Saya dilahirkan di sini, ibu bapa saya juga berasal dari sini dan saya sudah lama berkhidmat kepada masyarakat di kawasan ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Suhaimizan berkata, beliau telah bergiat aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan di Gemencheh sejak lebih 15 tahun lalu.

Katanya, penglibatannya bermula ketika masih di bangku sekolah menerusi pergerakan belia, sebelum aktif dalam pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Saya tidak pernah meninggalkan kawasan ini kecuali untuk melanjutkan pelajaran. Selepas tamat belajar, saya kembali dan terus berkhidmat kepada masyarakat menerusi pergerakan belia, NGO serta pelbagai aktiviti kemasyarakatan,” katanya.

Dalam pada itu, Suhaimizan berkata, sekiranya diberi mandat sekali lagi, antara keutamaan yang akan dilaksanakan ialah merealisasikan projek perumahan rakyat di kawasan itu yang kini sedang melalui proses pertimbangan di peringkat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKDW).

Katanya, projek berkenaan melibatkan pembinaan kira-kira 200 unit rumah di bawah Program Skim Perumahan Keluarga Rakyat (SPKR), selain penyediaan lot tanah untuk generasi kedua penduduk kampung.

“Selain itu, kita juga merancang membawa industri kecil ke kawasan Gemencheh dan telah mengenal pasti tapak yang bersesuaian.

“Kita juga telah mengemukakan cadangan pembinaan sebuah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di Gemencheh, namun tempoh pentadbiran selama dua tahun lapan bulan sebelum ini tidak mencukupi untuk merealisasikannya. Insya-Allah jika diberi peluang sekali lagi, kita akan usahakan sehingga berjaya,” katanya.

Suhaimizan berkata, beliau mula aktif dalam pergerakan belia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sejak di bangku sekolah serta telah berkhidmat kepada masyarakat di kawasan itu lebih sedekad.

Mengulas penerimaan pengundi, beliau berkata, sokongan daripada pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, India dan masyarakat Orang Asli dilihat semakin positif sepanjang tempoh berkempen.

Katanya, golongan belia juga memberikan komitmen yang baik dan beliau yakin sokongan kumpulan itu mampu memberi kelebihan kepada BN pada hari pengundian yang akan berlangsung esok.

Kerusi DUN Gemencheh menyaksikan saingan diantara Suhaimizan dan calon dari Pakatan Harapan (PH), Datuk Abd Latif A.Tambi.

Untuk rekod, Suhaimizan memenangi kerusi tersebut dengan 8,905 undi menewaskan calon dari PN,  Tengku Abdullah Tengku Rakhman dengan majoriti 2,434 undi Pada PRN lalu.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN