PUTRAJAYA: Sebanyak empat laporan diterima Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan kesalahan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd. Halim Aman berkata, empat laporan diterima membabitkan aduan pemberian wang tunai melibatkan dua calon dan calon pengundi awal (dua orang) semalam.
Katanya, SPRM telah menjalankan penyiasatan untuk melihat dan mengkaji sekiranya aduan terbabit mempunyai unsur rasuah atau menjurus kepada kesalahan pilihan raya.
“Aduan yang diterima selepas SPRM membuka bilik gerakan sepanjang PRN negeri berlangsung,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sebelum ini, Penyelaras Parti Wawasan Negara (Wawasan), Badrul Hisham Shaharim atau Chegubard mendakwa Pusat Media Perikatan Nasional (PN) didatangi sekumpulan anggota polis yang mengadu kononnya diberi RM300 hingga RM500.
Berikutan itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad dilaporkan berkata, siasatan akan dijalankan dengan telus sekiranya ada laporan polis dibuat mengenainya.
Kata Alzafny, sekiranya laporan tersebut berkaitan salah laku seperti dinyatakan, pihaknya akan merujuk kepada SPRM.-UTUSAN










