Siapa bertanggungjawab pelaburan KWAP? - Gerakan

Siapa bertanggungjawab pelaburan KWAP? – Gerakan

OH TONG KEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kerajaan Persekutuan perlu menjelaskan kepada rakyat siapa pihak yang perlu dipertanggungjawabkan terhadap kerugian hampir RM200 juta yang dialami Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) akibat pelaburan dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery.

Timbalan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Oh Tong Keong berkata, dalam hal ini, kerajaan tidak boleh sekadar memberi alasan bahawa KWAP telah ditipu tanpa menjelaskan siapa yang perlu memikul tanggungjawab terhadap keputusan pelaburan berkenaan.

“Rakyat berhak mengetahui pihak yang bertanggungjawab memandangkan dana yang diuruskan KWAP melibatkan simpanan persaraan ratusan ribu penjawat awam di negara ini.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak boleh hanya menjelaskan bahawa kerajaan telah ditipu tanpa memperincikan pihak yang perlu bertanggungjawab terhadap keputusan pelaburan tersebut,” katanya di sini, hari ini.

KWAP sebelum ini menjadi mangsa penipuan terancang yang melibatkan kerugian pelaburan hampir RM200 juta dalam syarikat pemula akuakultur Indonesia, eFishery selepas penipuan tersebut didedahkan oleh Kementerian Kewangan di Parlimen, baru-baru ini.

Tong Keong berkata, setiap keputusan pelaburan oleh KWAP sepatutnya dibuat berdasarkan penilaian risiko yang ketat serta proses usaha wajar (due diligence) yang menyeluruh bagi melindungi kepentingan dana persaraan penjawat awam.

“Pelaburan sememangnya mempunyai risiko, namun risiko itu tidak bermakna mana-mana pihak boleh terlepas daripada tanggungjawab sekiranya berlaku kelemahan dalam penilaian pelaburan atau pelaksanaan tugas,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mendedahkan hasil siasatan, menjelaskan pihak yang bertanggungjawab serta mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang cuai atau gagal melaksanakan tanggungjawab. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN