Mesyuarat Menteri Luar ASEAN bincang isu geopolitik

Mesyuarat Menteri Luar ASEAN bincang isu geopolitik

MOHAMAD Hasan (tengah) pada Program Bersama Warga Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Kelab Tuanku, Mambau, Seremban hari ini.-UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) di Manila Filipina akan memberi tumpuan kepada pelbagai agenda penting termasuk isu geopolitik serantau dan antarabangsa, keselamatan makanan serta kerjasama tenaga dalam kalangan negara anggota.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, antara isu yang akan dibincangkan adalah ketegangan di Laut China Selatan, konflik yang melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran, selain pembunuhan berterusan terhadap rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat yang kini turut merebak ke selatan Lubnan.

Beliau berkata, walaupun konflik tersebut berlaku di luar rantau ASEAN, kesannya tetap dirasakan oleh negara-negara anggota, sekali gus memerlukan pendirian bersama daripada blok serantau itu.

“Kita perlu buat pendirian kerana dunia ketika ini sedang bergolak. Walaupun perang berlaku jauh, kesannya banyak kepada negara kita,” katanya selepas program di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Barisan Nasional (BN) di Taman Kelab Tuanku di Mambau, di sini hari ini.

Mesyuarat menteri luar dan pegawai peringkat tinggi yang berlangsung di Manila, Filipina bermula semalam hingga 24 Julai ini sempena AMM dan ulang tahun ke-50 Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC).

Mohamad berkata, mesyuarat itu turut membincangkan usaha memperkukuh keselamatan makanan ASEAN, khususnya melalui jaminan bekalan beras memandangkan ia merupakan makanan ruji penduduk di rantau ini.

Katanya, satu dasar keterjaminan makanan ASEAN perlu diwujudkan bagi membolehkan negara-negara anggota yang mempunyai keupayaan mengeluarkan beras dan komoditi makanan lain saling melengkapi, sekali gus mengelakkan persaingan sesama sendiri.

“ASEAN merupakan sebuah blok yang besar dan setiap negara mempunyai kelebihan masing-masing. Kita akan gunakan kekuatan itu supaya tidak bersaing sesama sendiri,” katanya.

Beliau berkata, ASEAN juga akan terus memperkukuh kerjasama tenaga menerusi pelaksanaan ASEAN Power Grid (APG).

Jelasnya, negara-negara yang mempunyai kapasiti penjanaan elektrik lebih tinggi seperti Vietnam, Laos dan Kemboja berpotensi membekalkan tenaga kepada negara lain termasuk Malaysia dan Singapura. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN